Berita Harian

Pemimpin Melayu DAP didakwa ‘membisu’, kredibilit­i dipersoal

Sikap bagaikan setuju terhadap penghinaan terhadap Haron Din

- Oleh Fahmy Azril Rosli

Pemimpin Melayu DAP dibidas kerana didakwa hanya berdiam berhubung kenyataan Ahli Parlimen Jelutong daripada DAP, Jeff Ooi, yang membuat kenyataan menghina susulan kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarha­m Datuk Dr Haron Din.

Kredibilit­i pemimpin Melayu DAP berkenaan turut dipersoal kerana dilihat terpesong dari landasan perjuangan kononnya mahu mempertaha­nkan agenda Melayu menerusi parti itu.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutua­n, Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata setiap kali pemimpin DAP mencaci orang Melayu, pemimpin Melayu DAP akan senyap tanpa tindakan susulan.

“Sikap berdiam diri pemimpin Melayu berkenaan bagaikan tanda setuju terhadap penghinaan Jeff Ooi dan rakan DAP terhadap pemergian Allahyarha­m.

“Mereka akan tetap memuja Teresa Kok, Nga Kor Ming dan Jeff Ooi dengan agenda mematikan semangat bangsa Melayu.

Kebencian terhadap Melayu

“Malah, mereka yang mencaci orang Melayu dimartabat­kan sebagai ‘wira senyap’ oleh pemimpin tertinggi DAP. Tindakan Ooi dan rakannya menghina pemergian Allahyarha­m Haron membuktika­n parti itu mempunyai pemimpin kanan berjiwa kebencian melampau terhadap orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Razlan berkata, tindakan Ooi dan DAP itu akan mengikis tembok kesucian Islam dan sempadan budaya timur masyarakat Malaysia.

Nada sama turut disuarakan Pemuda UMNO Pahang yang bimbang perjuangan kesamarata­an antara kaum oleh kepemimpin­an parti itu boleh memercik api perkauman yang membawa kepada ketegangan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Tak sensitif

Ketuanya, Mohd Shahar Abdullah, berkata kedangkala­n ilmu Ahli Parlimen Jelutong itu menghina Haron mencermink­an parti itu tidak sensitif.

“Tindakan pemimpin DAP yang berani menghina Islam dan kepemimpin­an Melayu adalah bayangan suasana jika parti itu mengambil alih pimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas isu sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Ooi perlu meminta maaf atas keterlanju­rannya yang tidak menghormat­i sensitivit­i budaya dan agama itu.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkut­an berkata, perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengeluark­an kenyataan sedemikian.

“Kami sedih perkara ini berlaku. Pemergian Allahyarha­m adalah kehilangan besar buat negara,” katanya selepas merasmikan Pertanding­an Bola Keranjang 3-on-3 di Wisma MCA di sini, semalam.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia