Berita Harian

Bimbang nama tak tersenarai apabila pasar baharu siap

-

Ampang: Peniaga pasar pekan Ampang bimbang nama mereka akan tercicir dalam senarai peniaga yang bakal dipilih selepas projek pembanguna­n semula pasar berkenaan siap pada 2018.

Mereka yang rata-rata sudah berniaga sejak enam dekad lalu mahu Majlis Perbandara­n Ampang Jaya (MPAJ) memberi jaminan mereka dipilih untuk terus berniaga di pasar yang turut dikenali sebagai ‘pasar Cina’ dalam kalangan penduduk setempat.

Peniaga sayur, Sim Kiong, 77, yang menjadikan pasar itu sebagai ‘rumah keduanya’ mula berniaga sejak kecil lagi membantu ibu bapanya mencari rezeki di pasar berkenaan.

Katanya, sepanjang enam dekad pasar itu beroperasi pelbagai perubahan fizikal dilakukan peniaga ke atas ruang perniagaan terbuka yang hanya berbumbung tanpa dinding.

Kurang menarik perhatian

“Kami sudah banyak habiskan duit untuk baiki kedai kami, tapi sekarang mahu roboh begitu saja. Saya juga diberitahu tempat kami berniaga akan diganti dengan pembinaan bangunan dua tingkat tertutup dan kurang menarik perhatian pelanggan.

“Kami takut pelanggan tidak akan datang sebab tertutup dan terpaksa panjat tangga dua tingkat,” katanya.

Penjaja sayur, Mardalena Ramli, 42, bimbang beliau tidak dapat berniaga lagi kerana mungkin tidak terpilih disebabkan ruang niaga yang terhad.

“Saya bimbang punca pendapatan akan hilang jika pembinaan semula bangunan pasar dilaksanak­an nanti kerana kekurangan tempat disediakan,” katanya.

Justeru, beliau meminta MPAJ turut memikirkan nasib penjaja yang sudah lama berniaga di pasar berkenaan kerana difahamkan hanya peniaga yang mempunyai kedai diutamakan berpindah di bangunan pasar baharu.

“Saya difahamkan bangunan pasar itu hanya boleh menampung 300 peniaga sedangkan bilangan kami lebih daripada itu (300 peniaga),” katanya.

300 tapak baharu

Peniaga nasi lemak, Khazura Anwar, 45, berkata bangunan pasar dua tingkat akan menyukarka­n peniaga untuk memindah barang jualan berikutan ramai antara mereka sudah berusia 60 tahun ke atas.

“Semua peniaga dekat pasar ini sudah berumur. MPAJ tidak memikirkan semua itu, sebaliknya mementingk­an diri sendiri dan hanya ingin keuntungan saja.

“Kami juga bimbang akan dihalau jika berniaga di tapak pasar sementara kerana MPAJ tidak mendapat persetujua­n daripada pemilik tanah. Bekalan air dan elektrik juga tidak disediakan, sebaliknya terus mengarah kami untuk menguruska­n sendiri perkara itu.

“Tambahan pula, kawasannya tidak selesa kerana penuh lopak air dan berselut. Saya yakin tidak ramai pelanggan akan singgah kerana tidak selesa selain susah untuk mendapat parkir,” katanya.

Seorang penduduk, Ng Thiam Cho, 60, turut terkesan dengan penyediaan tapak baharu apabila tanaman sayur yang lebih lima tahun dimusnahka­n tanpa dimaklumka­n terlebih dulu.

“Ketika pentadbira­n Barisan Nasional (BN) pada 2010 lalu, saya menerima RM5,000 sebagai modal untuk memulakan tanaman sayur sebelum dijual di Pasar Pekan Ampang.

“Namun, beberapa minggu lalu, semua tanaman saya musnah kerana mereka ingin meratakan kawasan berkenaan untuk penyediaan tapak sementara. Saya sedar ia bukan tanah saya, tapi saya mendapat kebenaran untuk menanam di kawasan berkenaan,” katanya yang mengakui rugi RM3,000.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia