Berita Harian

Delegasi KPT tiba di Mesir hari ini kumpul data

-

Kuala Lumpur: Delegasi Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) akan mengadakan perjumpaan dengan pelajar persendiri­an Malaysia di Mansoura, Iskandaria­h dan Dewan Malaysia Abbasiyah, Mesir bagi membincang­kan isu tunggakan yuran yang sedang dihadapi pelajar di sana.

KPT dalam satu kenyataan semalam kepada BH berkata, delegasi itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPT, Datuk Kamel Mohamad dan disertai Pengarah Bahagian Education Malaysia KPT, Jamalulail Abu Bakar yang bertolak ke sana jam 2 pagi ini.

Katanya, rombongan delegasi selama empat hari itu, bermula dengan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari bagi mendapatka­n gambaran sebenar berhubung isu berbangkit.

“Sejurus itu, delegasi akan mengadakan perjumpaan dengan pelajar Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian, Universiti Al-azhar dan Universiti Mansoura; Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi, Universiti Iskandaria­h di Mansoura, Iskandaria­h dan Dewan Malaysia Abbasiyah, selain wakil Pejabat Education Malaysia Egypt (EME), Majlis Perundinga­n Mahasiswa Malaysia Mesir (MP3M) dan sekretaria­t Projek HOPE.

Dapatkan data jelas

Katanya, objektif utama rombongan itu adalah untuk mendapatka­n data dan maklumat yang jelas membabitka­n latar belakang dan prestasi pengajian pelajar berkenaan.

“Kami berharap misi kali ini membolehka­n kementeria­n memperoleh maklumat yang tepat dan terperinci sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Pada masa sama, kami berharap ibu bapa yang bercadang menghantar anak mereka ke luar negara membuat perancanga­n dan persediaan sewajarnya terutama dari segi keperluan kewangan,” katanya.

BH difahamkan Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjun­g (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor juga akan berangkat ke Mesir pagi ini bagi mengenal pasti jumlah sebenar pelajar yang sedang berdepan tunggakan hutang untuk membolehka­n GPMS menghulurk­an bantuan diperlukan.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun CIMB milik Yayasan Assegaff, 8600087342 dengan transaksi dicatat Sumbangan HOPE Mesir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia