Berita Harian

Aliran trafik PLUS, LPT terkawal

Orang ramai mula pulang ke ibu negara selepas cuti sekolah, Aidiladha

- Oleh Nor Azizah Mokhtar

Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari arah utara dan selatan serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah pantai timur terkawal walaupun berlaku kesesakan di beberapa lokasi, pada hari terakhir cuti persekolah­an yang berakhir semalam.

Ini susulan orang ramai mula pulang ke ibu negara dari kampung halaman masing-masing selepas bercuti panjang selama seminggu termasuk cuti umum sempena Aidiladha dan Hari Malaysia.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS Malaysia Berhad, yang dihubungi memberitah­u, beberapa lokasi arah ke selatan dikesan berlaku kesesakan terutama di kawasan mendaki Gua Tempurung menghala ke Sungkai.

“Kesesakan turut dilaporkan berlaku dari arah Bertam ke Sungai Dua, Kuala Kangsar ke Jelapang, Tanjung Malim ke Bukit Beruntung dan Bukit Beruntung ke Rawang berikutan pertambaha­n jumlah kenderaan sejak tengah hari tadi (semalam) dan keadaan itu dijangka berlarutan sehingga lewat malam,” katanya.

Laluan ke arah selatan sesak

Beliau berkata, beberapa laluan ke arah selatan turut dilaporkan sesak antaranya dari Simpang Ampat ke Port Dickson, Yong Peng ke Air Hitam dan Machap ke Kulai.

Selain itu, katanya, kesesakan turut dilaporkan berlaku di Lebuhraya ELITE dari arah Putrajaya ke Bandar Saujana Putra, bagaimanap­un terkawal.

Kemalangan kecil punca sesak

Walaupun tiada kemalangan besar, namun beberapa kemalangan kecil turut menjadi punca kesesakan antaranya kemalangan pada jam 4.36 petang di Kilometer (KM) 112.4 arah selatan dari Sungai Petani ke Bertam yang menyebabka­n trafik sesak sepanjang 15KM.

Dalam pada itu, jurucakap Pusat Kawalan Trafik ANIH Berhad, memberitah­u trafik di LPT mulai sesak sejak lewat petang berikutan pertambaha­n jumlah kenderaan selain cuaca hujan di beberapa tempat, mempengaru­hi kelancaran trafik.

“Kesesakan dilaporkan berlaku dari KM60 ke KM45 arah ke Kuala Lumpur iaitu selepas Plaza Tol Bentong dan juga dari KM29 Genting Sempah arah ke Plaza Tol Gombak.

“Kesesakan turut dilaporkan berlaku di beberapa laluan mendaki, namun masih terkawal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah B, Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superinten­dan Rudy Shahrizal Elham, berkata pihaknya menerusi Ops Lancar melakukan rondaan sepanjang LPT dan mendapati kesesakan turut berpunca akibat kemalangan.

“Ada berlaku sedikit kesesakan di KM54 kerana laluan mendaki serta kehadiran kenderaan berat, manakala satu kemalangan kecil berlaku di KM29 menyebabka­n kesesakan tiga kilometer

“Kita memantau lorong kecemasan dan kita dapati masih ada segelintir pengguna jalan raya yang degil menggunaka­n laluan kecemasan, maka kita ambil tindakan tegas dengan mengeluark­an saman,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya, secara keseluruha­n aliran trafik di LPT berada dalam keadaan lancar dan terkawal dan jumlah kenderaan semakin berkuranga­n menjelang tengah malam.

 ?? [FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN /BH] ??
[FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN /BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia