Berita Harian

30,000 kunjungi Karnival Sukan Laut Tanjung Kupang

-

Gelang Patah: Kira-kira 30,000 pengunjung memeriahka­n Karnival Sukan Laut Mukim Tanjung Kupang Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya 2016 yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam di Jeti Kampung Ladang Hujung dekat sini.

Sempena program itu, lebih 400 peserta termasuk golongan belia terutama penduduk berhampira­n menyertai 23 kategori sukan darat dan laut.

Program dengan kerjasama Forest City itu bertujuan menggalakk­an aktiviti sukan, selain mempromosi­kan kehidupan yang aktif dalam kalangan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankua­sa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata acara tahunan yang memasuki tahun ketiga penganjura­nnya itu mendapat sambutan menggalakk­an dalam kalangan penduduk tempatan yang mencecah hampir 30,000 orang.

Katanya, pembabitan semua lapisan masyarakat dalam membudayak­an sukan dapat meningkatk­an kesihatan mental, sekali gus memupuk semangat perpaduan rakyat Johor.

“Kerajaan negeri mengalukan usaha seumpama ke arah mengekalka­n tahap kesihatan, selain menggalakk­an penyertaan yang lebih meluas dan bukan hanya semata-mata untuk pertanding­an.

“Ini adalah penting dalam usaha kerajaan menggalakk­an orang ramai mengamalka­n gaya hidup sihat dan aktif termasuk memanfaat bantuan yang disediakan bagi meningkatk­an program kesukanan termasuk aktiviti belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurn­akan program Karnival Sukan Laut Mukim Tanjung Kupang DUN Nusajaya 2016 dekat sini, semalam. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia