Berita Harian

Mahkamah Pakistan arah rampas harta Musharraf

-

Islamabad: Sebuah mahkamah Pakistan yang membicarak­an bekas pemerintah tentera Pervez Musharraf berhubung serbuan maut ke atas Masjid Merah radikal di sini meluluskan satu arahan kelmarin supaya hartanya dirampas, kata seorang peguam.

Bekas Presiden Musharraf, 73, yang meninggalk­an Pakistan ke Dubai Mac lalu dalam apa yang digambarka­n sebagai rawatan perubatan segera, berdepan rentetan kes mahkamah dikaitkan dengan pentadbira­nnya antara 1999 hingga 2008.

Hakim Mahkamah Rendah Pervaiz Qadir Memon meluluskan arahan itu kelmarin dalam kes kematian ulama radikal Abdul Rashid Ghazi, seorang daripada lebih 100 orang yang maut apabila tentera Pakistan menyerbu Masjid Merah pada 2007.

Bawa pulang Musharraf

“Mahkamah hari ini meluluskan arahan supaya harta beliau dirampas. Tindakan berikutnya ialah meletakkan tekanan ke atas Kementeria­n Dalam Negeri untuk membawa Musharraf pulang ke tanah air supaya beliau berdepan semua kes ke atasnya,” kata peguam Masjid Merah, Tariq Asad.

Sebuah mahkamah khas Julai lalu yang membicarak­an Musharraf atas tuduhan membelot, mengeluark­an arahan sama Julai lalu.

Musharraf menyingkir­kan Perdana Menteri Nawaz Sharif dalam satu rampasan tanpa pertumpaha­n darah pada 1999. Beliau meletak jawatan pada 2008 bagi mengelak pendakwaan dan melarikan diri dalam buangan ke luar negara.

Bekas pemimpin itu bagaimanap­un kembali semula ke Pakistan pada 2013 dalam cubaan bertanding pilihan raya namun dihalang daripada mengambil bahagian dan meninggalk­an negara itu ketika berdepan rentetan kes perundanga­n. Larangan perjalanan ke atasnya ditarik balik Mac.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia