Berita Harian

Hup Wei mahu rangkul pingat emas

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei mempunyai ‘senjata rahsia’ yang bakal digunakan menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bermula pada 30 September hingga 2 Oktober ini.

Hup Wei yang kini berusia 29 tahun menegaskan ingin meletakkan diri selaku juara selepas hanya meraih pingat gangsa pada edisi lalu kerana belum pulih daripada kecederaan.

“Sekarang saya mempunyai teknik baharu dan saya mahu gunakan di Terbuka Malaysia, saya belum mahu tunjukkan kepada sesiapa lagi sebelum kejohanan bermula.

“Edisi tahun lalu saya hanya mendapat tempat ketiga (mewakili Angkatan Tentera Malaysia) dengan ketinggian 2.10 meter (m) kerana baharu saja menjalani pembedahan di lutut kerana kecederaan.

Prestasi terbaik

“Jadi kali ini saya mahu tebus kembali kekecewaan untuk memenangi pingat emas,” katanya ketika ditanya mengenai kejohanan berkenaan.

Pada Terbuka Malaysia 2015, pingat emas acara lompat tinggi menjadi milik Muhd Ashraf Saipu Rahman dari Terengganu selepas melakukan lompatan 2.15m dan Daniel Liu Tsz Hin dari Hong Kong (2.10m) raih perak.

Atlet kelahiran Selangor itu merakamkan prestasi terbaik musim ini dengan ketinggian 2.22m pada Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina untuk meraih pingat emas sekali gus berharap catatan itu mampu dibaiki pada Terbuka Malaysia nanti.

Mengulas mengenai temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Hup Wei menegaskan bahawa dia bertekad ‘menyarung’ kembali gelaran pemegang rekod kebangsaan selepas Nauraj Singh Randhawa mencatatka­n 2.29m, mengatasi ketinggian 2.27m miliknya sebelum ini.

“Saya gembira akhirnya rekod saya itu berjaya dipecahkan tapi tahun depan di Sukan SEA Kuala Lumpur saya akan cuba lakukan lompatan lebih daripada 2.29m untuk pecahkan rekod milik Nauraj,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia