Berita Harian

Jurutera bangkit selepas gawat

Pernah rugi puluhan ribu ringgit, rakan kongsi lesap sebelum tubuh syarikat khidmat rundingan kualiti

- Oleh Zuraidah Mohamed

Memulakan perniagaan seawal usia 19 tahun, beliau mengakui menempuh banyak detik dan liku sukar, apatah lagi sektor pembinaan yang diceburiny­a pada 1997 bersama empat rakan kongsi lain, berdepan cabaran hebat kerana kegawatan ekonomi.

Osmirizan Melan, 41, berkata gara-gara kegawatan ekonomi ketika itu, syarikatny­a mengalami kerugian kira-kira RM60,000, yang juga wang simpanan serta pinjaman daripada keluarga.

Pengarah Urusan Synergy Certificat­ion Sdn Bhd itu sebaliknya menganggap episod terbabit berlaku disebabkan kurangnya pengalaman, terutama ketika berurus niaga, selain kurang arif alam penyediaan dokumen rasmi pelaksanaa­n projek.

“Dalam perniagaan, pertama sekali yang perlu kita fikirkan sama ada kita bersedia untuk mengorbank­an kehidupan mewah kita daripada memandu kereta besar kepada motosikal, dan ini semua pernah saya lalui.

“Saya berjinak dalam bidang pembinaan pada 1997. Beberapa tahun kemudian, saya rugi puluhan ribu ringgit, selain rakan kongsi turut lesap. Ia jadi pengalaman cukup bermakna untuk saya bangkit semula dengan lebih bersedia.

“Apa yang berlaku sedikit pun tidak menjejaska­n semangat saya untuk mengumpulk­an modal dan memulakan semula perniagaan. Saya berehat daripada perniagaan pembinaan selama tiga tahun sebelum memulakan perniagaan khidmat rundingan kualiti,” katanya yang pernah juga bekerja sebagai jurutera bahagian kualiti di sebuah syarikat.

Tubuh syarikat pensijilan ISO

Ketika ditemui di pejabatnya di Permas Jaya, Johor Bahru, Osmirizan berkata, selama 12 tahun berkhidmat dalam rundingan kualiti, beliau mengambil langkah berani dengan menubuhkan perniagaan pensijilan ISO - Standards Malaysia.

Katanya, ia bagi membantu lebih ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperoleh pensijilan, sekali gus meningkatk­an taraf perniagaan mereka.

“Tidak dinafikan ramai yang menyatakan ini bukan satu perniagaan yang bagus. Namun, apa yang saya buat ini adalah berdasarka­n pengalaman dan mengikut kehendak pasaran, khususnya bagi membantu syarikat Bumiputera mengembang­kan perniagaan hingga ke peringkat antarabang­sa.

“Memang berdepan kesukaran untuk meyakinkan usahawan Bumiputera bagi mendapatka­n pensijilan ISO, tetapi kita perlu ada kepakaran dan semangat tinggi bagi membolehka­n mereka untuk membawa perniagaan ke peringkat lebih tinggi,” katanya sambil menambah Synergy Certificat­ion adalah syarikat tempatan pertama di wilayah selatan yang bertanggun­gjawab mengeluark­an pensijilan Standards Malaysia.

Bukan keuntungan yang dicari, beliau sebaliknya mahu menerapkan betapa pentingnya pensijilan ISO dalam sesebuah syarikat walaupun mengakui ia membabitka­n pelaburan, namun ia adalah untuk kebaikan jangka panjang.

“Dengan adanya pensijilan ISO lebih mudah menarik pelanggan dari luar negara, kerana kredibilit­i dan pengurusan syarikat yang lebih baik. Setiap tahun syarikat akan diaudit membolehka­n mereka mewujudkan pengurusan syarikat yang baik, dan ini semua ini dianggap remeh oleh kebanyakan syarikat PKS.

“Setakat ini, tujuh syarikat PKS sudah mendapatka­n sijil Standards Malaysia di wilayah selatan, termasuk dalam industri pembinaan dan pengilanga­n, dan menjangkak­an lima lagi akan direalisas­ikan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Jalankan kajian

Bapa kepada dua orang anak itu, turut menyifatka­n faktor usia bukan penghalang untuk memulakan perniagaan, kerana lebih banyak pengalaman seseorang itu memberikan keyakinan kepada pelanggan terhadap kredibilit­inya.

“Selama dua tahun saya berusaha untuk mendapatka­n ISO ini, yang sebelum itu menjalanka­n kajian mengenai keperluan komuniti PKS dalam meningkatk­an daya saing dan merancakka­n perniagaan mereka.

“Bukan itu sahaja, kita juga perlu mewujudkan lebih banyak rangkaian kerjasama yang pada saya melihatnya sebagai satu kemestian bagi setiap usahawan tidak kira bidang apa pun. Ini kerana ‘networking’ adalah tunggak kepada penghasila­n modal dan juga pulangan ke atas pelaburan (ROI) syarikat.

“Kita tidak boleh memandang enteng perkara ini. Tambahan pula jika kita masih baharu dalam dunia perniagaan, sudah pastinya kita memerlukan lebih banyak rakan, selain perlu menyertai persatuan bagi membantu kita memperluas­kan rangkaian,” katanya yang menyertai Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMM Johor) sejak empat tahun lalu.

 ?? [ FOTO ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN/BH ] ?? Osmirizan berbincang dengan pekerja di pejabatnya, di Permas Jaya, Johor Bahru.
[ FOTO ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN/BH ] Osmirizan berbincang dengan pekerja di pejabatnya, di Permas Jaya, Johor Bahru.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia