Berita Harian

Haram kenderaan berat waktu puncak

JKJR mahu segera laksana larangan dua jam di laluan depan sekolah bagi elak insiden berulang

- Oleh Nazura Ngah dan Ahmad Suhael Adnan

Larangan kenderaan berat melalui kawasan sekolah sekurang-kurangnya dua jam ketika waktu puncak sekolah, antara tindakan segera yang diteliti Jabatan Keselamata­n Jalan Raya (JKJR) susulan meningkat kes kemalangan membabitka­n pelajar di depan sekolah.

Selain itu, JKJR bekerjasam­a dengan Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) memperkena­lkan program perintis advokasi dan pencegahan dengan mengenal pasti dua sekolah berisiko tinggi di setiap negeri untuk dipantau ketika waktu puncak.

Ketua Pengarah JKJR, Datuk Arifin Che Mat, berkata beliau mengarahka­n pegawainya di setiap negeri mengadakan pertemuan segera dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pengangkut­an dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengetenga­hkan cadangan larangan itu.

Jadikan garis panduan

Katanya, EXCO pengangkut­an yang juga Pengerusi Majlis Keselamata­n Jalan Raya (MKJR) negeri boleh mempertimb­angkan cadangan itu untuk dijadikan peraturan atau garis panduan bagi meningkatk­an tahap keselamata­n pelajar, sekali gus menjadikan sekolah sebagai kawasan selamat.

Beliau berkata, selepas disahkan pada peringkat negeri, cadangan itu akan dibawa ke peringkat MKJR peringkat nasional untuk dipertimba­ngkan tindakan susulan, termasuk penggubala­n undang-undang sebelum ia diwartakan.

“Kaedah ini sama seperti peraturan melarang kenderaan berat memasuki pusat bandar bagi memastikan aliran trafik lancar. Kami yakin peraturan ini mampu mengurangk­an kes kemalangan di hadapan sekolah,” katanya kepada BH, semalam.

Semalam BH melaporkan lokasi sekolah di tepi jalan besar yang turut menjadi laluan kenderaan berat, selain ketiadaan zon pemisah di antara sekolah dengan jalan, besi penghadang pejalan kaki serta jejantas dikenal pasti punca kemalangan maut terus berlaku di hadapan sekolah.

Laporan itu juga menyebut dalam tempoh tiga hari lalu, dua murid maut dan seorang cedera parah dirempuh kenderaan di jalan utama di hadapan sekolah mereka di Bagan Serai, Perak; Dungun, Terengganu dan Alor Gajah, Melaka.

Pakar keselamata­n jalan raya dan tinjauan BH juga mendapati kebanyakan jalan di hadapan sekolah tiada pengawal lalu lintas, speed breaker atau bonggol.

Arifin berkata, bagi projek perintis advokasi dan pencegahan yang dilaksanak­an tahun ini, pemantauan anggota daripada dua jabatan terbabit bagi memastikan kawasan sekolah selamat untuk pelajar dan masyarakat.

“Kejayaan projek perintis itu akan menjadi penanda aras untuk pelaksanaa­n projek yang lebih besar pada peringkat nasional pada masa akan datang,” katanya.

Elak pelajar lintas jalan

Selain itu, Arifin turut meminta pihak berwajib menyediaka­n lebih banyak speed breaker dan bonggol di kawasan sekolah dalam usaha mengurangk­an kelajuan kenderaan di kawasan itu.

“Kami juga meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berbincang dengan pengusaha bas sekolah supaya kenderaan mereka diletakkan di sebelah sekolah, bukannya di seberang jalan setiap kali mengambil dan menurunkan pelajar bagi mengelak pelajar melintas jalan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengendali Lori Kuala Lumpur dan Selangor, Alvin Choong, berkata larangan terhadap kenderaan berat melalui kawasan sekolah pada waktu puncak adalah tidak adil.

“Beberapa larangan diletakkan kepada industri ini, antaranya lori tidak dibenarkan masuk ke kawasan di ibu negara antara jam 4 petang hingga 7 malam dan pertambaha­n larangan adalah tidak adil kepada industri lori,” katanya.

 ??  ?? Muka depan BH semalam.
Muka depan BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia