Berita Harian

Malaysia tawar 100 biasiswa bantu pelajar wanita OIC

Peruntukan RM15 juta biayai kos lanjut pelajaran di peringkat sarjana, PHD di universiti tempatan

- Oleh Norhafzan Jaafar dan Wan Nur Faliqha Wan Hazani

Kerajaan menawarkan 100 biasiswa berjumlah RM15 juta bagi membantu wanita Islam dari negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dilanda konflik melanjutka­n pengajian di negara ini.

Program Sokongan Akademik Oic-malaysia yang dilancarka­n semalam itu, membabitka­n penawaran pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PHD) di universiti awam (UA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata program itu diharap membantu golongan sasar membina semula negara mereka selepas tamat pengajian.

“Ini sumbangan Malaysia dalam usaha menerajui dan membantu umat Islam yang dilanda kesukaran berikutan pergolakan dan konflik di negara mereka dengan memberi bantuan menerusi bidang pendidikan.

“Kajian membuktika­n pendidikan adalah cara paling berkesan membina masyarakat baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Wanita Islam Antarabang­sa (WISE) 2016, di sini, semalam.

WISE yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM), OIC dan World Islamic Forum, berlangsun­g tiga hari bermula semalam.

11 pelajar mula pengajian

Yang turut hadir, Pengerusi Panel Isu Semasa Wanita Islam (PISWI) yang juga Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin.

Jamil Khir berkata, seramai 11 pelajar dari Syria, Yaman, Iraq dan Palestin memulakan pengajian menerusi program berkenaan di UIAM, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Antara bidang pengajian ditawarkan adalah kejurutera­an awam, pendidikan, kaunseling, ekonomi, perundanga­n dan sains sosial.

“OIC turut berperanan menyelaras dan memproses calon pelajar ke negara ini,” katanya.

Sementara itu, Zaleha berkata, program berkenaan diharap akan mewujudkan lebih 1,000 peluang biasiswa kepada calon wanita dari negara OIC dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Program ini akan dilanjutka­n ke negara tuan rumah WISE tahun seterusnya untuk dilaksanak­an di negara mereka.

“Turki yang akan menjadi tuan rumah WISE 2017, diharap dapat mewujudkan lebih banyak sokongan dalam akademik kerana mereka memiliki 176 universiti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia