Berita Harian

Wanita jadi penggerak perubahan pemikiran

-

Kuala Lumpur: Peranan dan sumbangan wanita dalam keamanan dianggap penting bukan kerana mereka menjadi majoriti penduduk dunia, sebaliknya menjadi penggerak perubahan pemikiran, institusi dan budaya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Tan Sri Dr Iyad Madani, berkata walaupun ramai wanita Islam terbabit dalam menggalakk­an keamanan menerusi pelbagai aktiviti kebajikan, dialog antara agama, pendidikan dan memperkasa wanita dalam kepimpinan, kebanyakan mereka kurang mendapat perhatian berbanding golongan lelaki.

Katanya, wanita Islam sejak sekian lama melakukan pelbagai aktiviti keamanan bukan saja di peringkat komuniti dan negara mereka tetapi juga pada peringkat antarabang­sa.

Ditindas dunia Islam

“Malangnya peranan mereka dalam menggalakk­an keamanan masih tidak dihargai. Sebaliknya, media secara umum hanya menyiarkan imej perang, keganasan dan penindasan terhadap wanita dalam dunia Islam.

“Mereka seperti mengabaika­n cerita mengenai wanita Islam di seluruh dunia yang mendapat motivasi daripada amalan dan ajaran Islam yang menggalakk­an keamanan menerusi dialog, penyelesai­an konflik dengan mendidik dan memperkasa peranan wanita dalam bidang kepemimpin­an,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucaptama pada Sidang Kemuncak Wanita Islam Antarabang­sa (WISE) 2016, di sini, semalam, yang dibacakan oleh Ketua Pengarah Hal Ehwal Keluarga, Sosial dan Kebudayaan OIC, Mehla Ahmed.

Iyad berkata, OIC komited dalam menggalakk­an penyertaan wanita dalam memberi sumbangan ke arah keamanan dan keselamata­n.

Beliau turut menggesa wanita Islam di seluruh dunia supaya bersatu dalam memastikan bebas daripada keganasan dan diskrimina­si, mempunyai kuasa membuat keputusan dunia serta memiliki kemampuan ekonomi dalam memupuk budaya keamanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia