Berita Harian

Bekas wartawan NST meninggal dunia

-

Kuala Lumpur: Bekas wartawan New Straits Times (NST), Sager Ahmad, meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Selayang di sini, malam tadi.

Sager, 60, yang dikenali dalam kalangan rakan media dengan nama ‘Sagaraga’ atau ‘Fort Attap’, meninggal dunia jam 7.15 malam, selepas lebih seminggu dirawat di hospital itu.

Allahyarha­m meninggalk­an seorang isteri, Khairani Abdul Hamid, 55, dan lima anak.

Jenazah akan dikebumika­n di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, jam 11 pagi ini.

Anak Allahyarha­m, Ahmad Khairi ketika dihubungi, berkata bapanya dimasukkan ke hospital pada 15 September lalu selepas jatuh ketika dalam perjalanan ke klinik setelah mengalami masalah pernafasan.

Hidap kencing manis

“Selepas makan malam bersama keluarga, bapa mengalami masalah pernafasan dan kami membawanya ke klinik, namun ketika dalam perjalanan dia rebah secara tiba-tiba.

“Dia dikejarkan ke Hospital Selayang dengan ambulans dan berada dalam keadaan koma,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Khairi berkata, bapanya turut menghidap penyakit kencing manis yang membawa kepada masalah buah pinggang dan paruparu.

Komplikasi jantung

“Bapa mempunyai komplikasi penyakit jantung tetapi tidak pernah memberitah­u sesiapa termasuk ahli keluarga,” katanya.

Sager adalah wartawan BH sebelum menyertai NST dan ditugaskan di Meja Jenayah serta Meja Pertahanan.

Bekas rakan setugasnya, Tony Emmanuel, berkata Sager yang sentiasa bersikap merendah diri, mempunyai pelbagai pengalaman dalam membuat liputan berhubung berita mengenai Angkatan Tentera Malaysia dan tentera luar negara.

“Dalam kalangan rakan, dia dikenali sebagai seorang yang luar biasa, selain turut terbabit dalam banyak liputan berita besar, termasuk penemuan pesawat Tentera Udara Diraja Kanada, RAF B-24 yang terhempas berhampira­n sempadan Malaysia-thailand, kirakira 70 tahun lalu,” katanya.

 ??  ?? Sager Ahmad -
Sager Ahmad -

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia