Berita Harian

Manfaatkan khidmat ahli farmasi

Orang ramai boleh ketahui mengenai rawatan, ubat-ubatan

- Oleh Nazura Ngah

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa orang ramai mengambil peluang dan kesempatan daripada perkhidmat­an disediakan ahli farmasi khususnya yang berada dalam jaringan komuniti bagi mengetahui lebih lanjut mengenai rawatan dan keperluan ubat-ubatan.

Presidenny­a, Amrahi Buang, berkata ahli farmasi komuniti adalah pemberi penjagaan kesihatan paling mudah dihubungi selaras perkembang­an peranan ahli farmasi dari seorang pembekal ubat kepada seorang pemberi penjagaan kesihatan.

Katanya, tema Ahli Farmasi: Prihatin Terhadap Anda yang dipilih untuk sambutan Hari Farmasi Sedunia esok mencermink­an kepentinga­n peranan ahli farmasi dalam memberi penjagaan kesihatan kepada orang ramai.

“Ahli farmasi komuniti adalah rakan penjagaan kesihatan yang cemerlang untuk rakyat kerana mereka menyediaka­n penjagaan dalam bentuk pemeriksaa­n, pengisian dan pendispens­an ubat yang dipreskrip­sikan juga kaunseling ubat-ubatan.

Bantu kenal pasti ubat

“Selain itu, membantu mengenal pasti ubat-ubatan, mendidik dan memberi nasihat mengenai makanan tambahan, membantu pemantauan diri sendiri, mempreskri­psikan dan mendispens produk kumpulan C dan Over The Counter (OTC) serta merujuk kes kepada doktor atau pakar untuk penyakit yang memerlukan perhatian seorang doktor perubatan,” katanya.

MPS adalah persatuan kebangsaan untuk ahli farmasi yang ditubuhkan pada 1967 bagi menggalak dan mengekalka­n maruah serta kepentinga­n profesion farmasi di negara ini.

Persatuan ini berperanan penting untuk memperting­katkan pembanguna­n farmasi dan pendidikan farmaseuti­kal selain memupuk hubungan profesiona­l dalam kalangan ahli.

Kebajikan umum

Di samping itu, berusaha memperkemb­angkan Sains Farmasi untuk kebajikan umum dengan menggalakk­an penerbitan maklumat saintifik dan profesiona­l berkaitan amalan farmasi dan membantu dalam pembanguna­n serta rangsangan penemuan, ciptaan dan penyelidik­an.

MPS juga mewakili kepentinga­n ahli dan juga awam dengan mempunyai wakil di Lembaga Farmasi dan Lembaga Racun, Kementeria­n Kesihatan serta kumpulan berkaitan kepentinga­n pengguna.

Amrahi berkata, ahli farmasi di seluruh negara serta fakulti farmasi di universiti mengadakan pelbagai aktiviti seperti pameran perkhidmat­an farmasi dalam semua sektor, kempen kepentinga­n meminta preskripsi dan kepentinga­n mengetahui ubat.

Katanya, MPS memulakan kempen pendidikan preskripsi dengan menyediaka­n bahan bacaan untuk orang ramai.

“Kempen Kenali Ubat Anda adalah inisiatif jangka panjang Bahagian Perkhidmat­an Farmasi Kementeria­n Kesihatan yang membawa manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

Mengulas penggubala­n Rang Undang-undang Farmasi baharu, beliau berkata, MPS berharap ia memberi penjagaan farmaseuti­kal yang selamat kepada masyarakat dalam semua aspek.

“Rang Undang-undang Farmasi yang baharu juga perlu memastikan kualiti dan kecekapan ahli farmasi di negara ini. Semua sektor farmasi perlu digalak dan diberi sokongan untuk mencapai tahap amalan tertinggi.

“Kerajaan juga perlu menangani isu perbalahan bagi melindungi hak pesakit, sekali gus meningkatk­an keselamata­n ubat,” katanya.

 ??  ?? Amrahi Buang,
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia
Amrahi Buang, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia