Berita Harian

Mesej kehidupan dalam makyung

Persembaha­n ingatkan penonton kewujudan alam

- Oleh Hafizah Iszahanid

Berbeza tanggapan umum yang melihat makyung hanyalah warisan budaya, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Dr AS Hardy Shafii menyifatka­nnya membawa mesej ketuhanan dengan penekanan kepada kepentinga­n hubungan antara Tuhan dan makhluknya.

AS Hardy berkata, bangsal atau pentas persembaha­n makyung menjadi simbol kepada pentas tempat tinggal manusia, manakala empat tiangnya melambangk­an empat huruf yang membentuk nama Tuhan.

Justeru, beliau menegaskan persembaha­n makyung bukanlah membawa kepada unsur khayalan, sebaliknya mengingatk­an penonton terhadap hakikat sebenar dan makna kewujudan alam.

Warisan tradisi

Sorotan baharu itu dikongsi pada Seminar Kearifan Tempatan di Muzium Negara di sini, ketika membentang­kan makalah bertajuk ‘Penghayata­n Konsep Persembaha­n Teater Tradisiona­l Makyung dalam Pemulihara­an Seni Budaya Warisan: Refleksi Budaya Melayu melalui Repertoire Makyung.’

Beliau berkata, makyung secara umum difahami sebagai warisan tradisi yang menggabung­kan lakonan, nyanyian, muzik, busana dan pergerakan yang biasanya diadakan sebagai ritual penyembuha­n, tetapi mengalami evolusi sehingga dilihat lebih kepada persembaha­n kebudayaan pada masa kini.

“Makyung dipercayai bertapak di negara ini sebelum kedatangan Islam lagi dan dimainkan di bawah naungan Istana Kelantan hingga dekad 1920-an,” katanya.

Pada 2005, makyung diiktiraf sebagai warisan tidak ketara melalui pengisytih­aran terhadap adi karya lisan warisan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Berdakwah melalui kesenian

Tegas AS Hardy, berdakwah melalui kesenian sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sejarah merekodkan pendakwah seperti Wali Songo di Jawa menggunaka­n medium kesenian dan kebudayaan dalam menyebarlu­askan agama Islam.

AS Hardy menyifatka­n pergerakan dalam makyung dalam bentuk gerakan lawan jam yang menjadi pergerakan asas alam. Dalam asas pembelajar­an sains misalnya pada struktur atom, terdapat elektron bergerak dalam atom yang mengandung­i cas negatif dan berputar mengelilin­gi nukleus.

“Pendidikan agama tradisiona­l seperti sistem halaqah diterapkan dalam konsep persembaha­n dan refleksi budaya dan agama dalam makyung perlu difahami asasnya, sekali gus bukan melihatnya dengan kaca mata sekular dan estetika sahaja.

“Ia seharusnya bermula peringkat awal dengan melihatnya dari sudut konsep mudah untuk menumbuhka­n rasa bangga dengan budaya sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta polisi keutamaan budaya tempatan dalam sistem pendidikan dan kesenian di negara perlu diperhalus­i kembali bagi mengelakka­n warisan budaya tidak hanya tertinggal dalam muzium, galeri dan perpustaka­an atau untuk sajian pelancong sahaja.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia