Berita Harian

Sivasangar­i wakil tunggal ke final

-

Kuala Lumpur: Pilihan utama, S Sivasangar­i menjadi wakil tunggal negara yang mara ke pentas final Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia (AJIC) di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Sivasangar­i menepati ramalan selaku pilihan utama kategori wanita bawah 19 tahun selepas menundukka­n rakan senegara, Zoe Foo Yuk 11-5, 11-5, 11-5 dalam perlawanan separuh akhir yang hanya berlangsun­g selama 17 minit.

Pada aksi final hari ini, dia akan berdepan Satomi Watanabe dari Jepun yang mara selepas pemain negara yang juga pilihan kedua, Andrea Lee menarik diri di set ketiga pada kedudukan 8-4. Satomi menang dua set pertama 11-7, 11-6.

“Saya dapat mengawal permainan dengan baik serta berjaya menjarakka­n kedudukan dan itu menyukarka­n Zoe untuk mengejar mata.

Tidak kira siapa

“Bagi final esok (hari ini), tidak kira siapa pun lawan, saya akan berikan yang terbaik untuk menjuarai kejohanan ini,” katanya selepas perlawanan separuh akhir itu.

Lee terpaksa menarik diri akibat kecederaan buku lali kiri yang sudah mula menunjukka­n kesan sejak aksi suku akhirnya semalam.

Kecederaan yang dialami sewaktu latihan tiga minggu lalu kembali berulang ketika berdepan Satomi, memaksanya memberi kemenangan mudah kepada lawannya itu.

Sementara itu, harapan kem negara untuk melihat wakil negara dalam pentas final kategori lelaki bawah 19 tahun berkecai apabila Ng Eain Yow, yang juga pilihan utama, dikejutkan dengan kekalahan di tangan pemain Jordan, Mohammad Alsarraj.

Ng bermula baik dengan memenangi dua set pertama 11-7, 11-6, namun segala-galanya berubah pada set ketiga yang menyaksika­n beliau gagal mengekalka­n rentak dan tunduk kepada Mohammad dengan 10-12.

Pemain Jordan itu terus menguasai permainan dan menyamakan kedudukan dengan memenangi set berikutnya dengan 13-11 dan dalam set penentuan, Mohammad berjaya menguasai permainan dengan baik untuk kemenangan 11-8.

Aksi final hari ini akan menyaksika­n Mohammad bertemu pilihan kedua, Velavan Senthilkum­ar dari India yang menewaskan pemain Hong Kong, Ling To Yu 611, 11-2, 11-8, 11-6.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia