Berita Harian

TMJ belum minat jadi presiden FAM

Namun baginda akui bersikap 50/50 terhadap cadangan berkenaan

- Oleh Rizar Mohd Noor

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menyatakan belum berminat memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal dikosongka­n Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada tahun depan.

“Apabila orang bertanya tentang jawatan Presiden FAM, saya akui 50-50 kerana saya tahu perubahan yang boleh dibuat tetapi pada masa yang sama, saya tidak mahu memegang jawatan itu kerana komitmen dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kerana hanya penyokong JDT sahaja, tidak kisah dari Kedah ke Perlis sampai ke Sabah yang hargai perubahan yang saya buat. Namun buat ketika ini saya tetap mahu selesaikan tugasan di Johor,” kata baginda di sini, semalam.

Tokoh popular

Akhbar ini semalam, melaporkan mengenai pemilihan Tunku Ismail sebagai tokoh popular untuk menerajui FAM, mengikut undian yang dilakukan oleh undian BH Online bagi tempoh 24 jam.

Selain TMJ, dua lagi nama yang turut disenaraik­an dalam undian itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Airasia, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaa­n (Pemandu), Datuk Seri Idris Jalan.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail tidak menolak betapa baginda ingin melihat dulu perancanga­n dan polisi yang bakal dilaksanak­an oleh FAM sebelum membuat ulasan lanjut.

“Kita tengok apa penyelesai­an yang bakal dilakukan selain pandangan ahli-ahli gabungan FAM. Ada yang berjumpa dan cuba memujuk saya. Tetapi nak tengok apa perancanga­n dan polisi yang bakal dibuat.

“Malah saya juga ingin lihat perubahan perlembaga­an yang perlu diubah suai kerana perlembaga­an yang sedia ada tampak sudah lapuk,” katanya sambil menegaskan tidak berdepan masalah memberi kerjasama kepada sesiapa saja yang menjadi presiden FAM selagi mampu berkhidmat dan memberi manfaat kepada organisasi berkenaan dan bola sepak tanah air selain bersikap bebas dan adil serta menjaga kebajikan kelab dan persatuan negeri.

Tunku Ismail juga berpandang­an betapa komitmen baginda terhadap JDT masih diperlukan kerana kelab itu belum lagi layak bersaing pada aksi Liga JuaraJuara Asia (ACL).

Selain itu, ia juga bagi memastikan segala perancanga­n terutama pembinaan stadium baharu dan juga kewujudan akademi bola sepak yang canggih belum siap sepenuhnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia