Berita Harian

‘MISBUN PERNAH HALAU SAYA KELUAR GELANGGANG’

Ikuti catatan Datuk Lee Chong Wei

- di Muka Sepuluh

Sejak pulang dari Rio de Janeiro, Brazil untuk temasya Olimpik Rio 2016, tidak dinafikan jadual saya agak padat. Saya perlu membahagik­an masa antara latihan dengan menghadiri majlis penghargaa­n di atas kejayaan memenangi pingat perak. Saya bersyukur kejayaan saya dan atlet lain dihargai pelbagai pihak termasuk kerajaan, penaja peribadi dan sektor swasta dengan insentif yang diberikan.

Saya sering tekankan dalam diri saya, tiada jalan mudah untuk berjaya. Bagi saya, untuk berada di tempat sekarang, saya terpaksa melakukan banyak pengorbana­n. Wang, masa, keluarga, tenaga dan macam-macam lagi. Waktu remaja saya terpaksa dikorbanka­n demi mengejar cita-cita menjadi pemain terbaik dunia. Yang saya tahu hanya badminton.

Saya pernah hampir dibuang daripada skuad kebangsaan kerana terlalu ramai pemain senior yang hebat. Antara pemain itu ialah Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Lee Tsuen Seng, Hafiz Hashim, Roslin Hashim dan Ismail Saman. Disebabkan pemain senior lebih banyak meraih kejayaan, jurulatih ketika itu, Indra Gunawan mungkin tidak nampak saya.

Tak lupa jasa Misbun

Namun, saya bertuah dengan kehadiran Datuk Misbun Sidek yang mengambil alih tugas jurulatih daripada Indra. Saya tidak akan sesekali lupa terhadap jasa Misbun kerana dia yang membuatkan saya berada di mana saya hari ini. Saya ingat lagi, Misbun memanggil saya dan bertanya, “Chong Wei apa yang you mahu?” Saya beritahu saya mahu menjadi pemain utama dunia dan saya mahu layak ke Olimpik.

Misbun jawab, “Ok, you bagi you punya tenaga, apa yang saya buat, you perlu ikut dan terima”. Saya balas, “Ok, saya tidak kisah... saya sanggup”.

Sejak itu, saya dilatih Misbun dan latihannya memang keras sehingga saya pernah dihalau dari gelanggang latihan kerana membuang raket akibat terlalu tertekan. Saya tidak dibenarkan berlatih selama seminggu dan sepanjang tempoh itu, saya hanya datang ke gelanggang untuk mengutip bulu tangkis dan hanya menjalani latihan dengan dinding.

Waktu itu baru saya faham mengapa Misbun marah... dia tidak suka saya membuang raket kerana baginya ia adalah teman baik setiap pemain badminton dan digunakan untuk mencipta kejayaan. Disebabkan ketegasan Misbun juga, saya menangis kerana nama digugurkan daripada menyertai Kejohanan Seluruh England pada hari yang sepatutnya saya berlepas ke England.

Semuanya berubah hanya disebabkan saya beritahu Misbun yang doktor tidak benarkan saya berlari di atas permukaan jalan, sebaliknya berlari di permukaan rumput bagi meredakan bengkak di bahagian kaki saya pada sesi terakhir latihan di sebelah pagi. Namun, Misbun tidak terima alasan itu dan mengarahka­n saya duduk sahaja dan selepas tamat latihan, beliau beritahu saya digugurkan ke Seluruh England... ketika itu saya memang kecewa.

Saya merayu kepada pegawai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tetapi mereka katakan itu adalah keputusan Misbun. Ini adalah detik penting dalam kerjaya saya. Jika bukan disebabkan ketegasan Misbun, mungkin saya tidak sampai ke tahap ini. Saya diajar untuk mengikut segala apa yang diarahkan jurulatih, tidak pernah sekalipun saya mengingkar­i arahan. Dengan semua pengorbana­n, saya berpuas hati dengan apa yang saya raih hari ini... orang juga hormati kita.

Tiada jalan pintas

Pemain muda kita juga sebenarnya boleh. Bagi saya, mereka perlu mencontohi pemain senior yang ada. Ada contoh yang baik dan tidak baik tetapi mereka perlu bijak untuk membuat pilihan.

Mengenai taktikal, pemain Malaysia memang berbakat dan bertaraf dunia tetapi mereka kurang kemahuan untuk berjaya. Kita mempunyai jurulatih yang baik, tetapi pemain muda kita cepat berputus asa. Latihan berat sedikit, sudah tidak boleh tahan.

Macam mana mahu berjaya? Mana boleh tanpa menjalani latihan kita akan berjaya. Itu yang saya katakan, tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Lagi satu, pemain muda seharusnya melihat semua insentif yang diberikan terhadap kejayaan kami di Olimpik sebagai motivasi kepada mereka. Mereka juga boleh merasainya, dengan syarat perlu ada kemahuan yang tinggi.

Final Terbuka Tokyo

Selepas final Olimpik Rio, hari ini saya akan beraksi dalam satu lagi aksi final Terbuka Jepun. Walaupun persiapan tidak pada tahap terbaik untuk kejohanan ini, saya tidak akan menyerah kalah begitu mudah. Awal-awal lagi saya sudah tanamkan dalam diri, setiap kejohanan adalah penting dan perlu memberikan yang terbaik.

Ini adalah final kali keenam untuk saya di Terbuka Jepun dan saya menjuarain­ya sebanyak lima kali sebelum ini, iaitu pada 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014. Keinginan untuk menjuarain­ya sekali lagi hari ini tetap tinggi, namun saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.

Apa pun, saya berjanji akan buat yang terbaik. Selepas Terbuka Jepun, saya akan menyertai Terbuka Korea Selatan bermula Selasa ini. Walaupun ada yang melihat kemuncak saingan tahun ini adalah pada Olimpik Rio, bagi saya kedua-dua kejohanan ini juga sangat penting.

Saya perlu menghasilk­an keputusan yang terbaik bagi mengumpul mata untuk layak ke Siri

Super Akhir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 14 hingga 18 Disember depan. Saya belum pernah lagi beraksi di Siri Super Akhir sejak ia diadakan di Dubai bermula 2014. Jadi, saya tidak mahu terlepas peluang seperti dua tahun ini kerana tidak layak susulan kes doping. Memandangk­an hanya lapan pemain terbaik layak ke Siri Super Akhir, saya yang kini menghuni ranking kelima sekurang-kurangnya perlu mengekalka­n kedudukan itu.

Saya sering tekankan dalam diri saya, tiada jalan mudah untuk berjaya. Bagi saya, untuk berada di tempat sekarang, saya terpaksa melakukan banyak pengorbana­n” Saya dilatih Misbun dan latihannya memang keras sehingga saya pernah dihalau dari gelanggang latihan kerana membuang raket akibat terlalu tertekan. Saya tidak dibenarkan berlatih selama seminggu” Kita mempunyai jurulatih yang baik, tetapi pemain muda kita cepat berputus asa. Latihan berat sedikit, sudah tidak boleh tahan. Macam mana mahu berjaya?”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia