Berita Harian

Puteri diamanah perkasa wanita muda

Tanggungja­wab penting bangunkan modal insan pastikan UMNO, BN kekal pelaksana agenda transforma­si

- Oleh Nazura Ngah

Puteri UMNO diamanahka­n dua tanggungja­wab penting untuk membangunk­an modal insan generasi muda, khususnya wanita bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus kekal sebagai wadah terbaik melaksanak­an agenda transforma­si negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peranan sayap bongsu parti itu perlu diperkasak­an dengan meyakinkan generasi muda bahawa wadah perjuangan terbaik untuk mereka dipelopori parti pemerintah, bukannya pembangkan­g.

Sehubungan itu, beliau mahu pergerakan menjelaska­n di peringkat akar umbi bahawa BN sentiasa merancang dan melaksanak­an agenda yang lebih baik untuk wanita dan negara.

“Pertama, saya sebagai Presiden UMNO mahu Puteri terus berjuang dengan bersungguh-sungguh supaya generasi muda, khususnya wanita tahu bahawa wadah perjuangan yang paling baik untuk mereka ialah yang dipelopori UMNO dan BN.

“Puteri perlu meyakinkan generasi muda kenapa wadah kita terbaik, kenapa kita ada agenda pembanguna­n, agenda transforma­si, kenapa di sebelah sana (pembangkan­g) hanya pandai main politik kebencian, memburukka­n orang lain tetapi tidak mengetenga­hkan agenda pembanguna­n negara.

Lebih idealistik

“Kedua, saya hendak Puteri mempersiap­kan wanita muda dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang melangkaui soal politik... lebih idealistik daripada hanya semata-mata untuk mendapatka­n undi mereka,” katanya ketika berucap di Festival Wanita Muda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Festival Wanita Muda anjuran Puteri UMNO yang menghimpun­kan wanita muda berbilang bangsa dan agama dari seluruh negara bertujuan meneroka potensi diri serta peranan wanita muda dalam mencorakka­n kemajuan dan perubahan positif negara.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, wanita muda perlu dipersiapk­an dengan kekuatan ilmu, kerohanian, kemahiran, kepemimpin­an dan kekuatan rangkaian untuk menghadapi cabaran hari ini dan akan datang.

Tegasnya, untuk muncul sebagai sebuah negara yang berjaya, wanita perlu diberikan ruang dan peluang yang adil dan saksama mengikut merit serta kebolehan, selaras dengan hukum syarak dan akal.

Selaras prinsip Islam

“Prinsip untuk bantu wanita adalah selaras dengan hukum dan prinsip Islam, mengikut sepotong hadis: `Tiada seorang yang memuliakan wanita kecuali dia seorang yang mulia, tidak ada yang menghina wanita kecuali orang yang rendah pekerti’.

“Wanita tidak mahu diberi peluang kerana belas kasihan, tidak mahu diberi tempat kerana simpati dan wanita tidak mahu bergantung kepada kebajikan dan subsidi, sebaliknya wanita mahu peluang yang adil dan saksama,” katanya.

Saya hendak Puteri mempersiap­kan wanita muda menghadapi cabaran pada masa akan datang melangkaui soal politik” Najib Razak, Perdana Menteri

 ?? [FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH] ?? Najib ketika hadir di Festival Wanita Muda 2016 anjuran Puteri UMNO di Dewan Tun Razak, PWTC, semalam.
[FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH] Najib ketika hadir di Festival Wanita Muda 2016 anjuran Puteri UMNO di Dewan Tun Razak, PWTC, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia