Berita Harian

Batu nisan belimbing rungkai rahsia tamadun Melaka

Penemuan tarik minat pelbagai pihak lakukan kajian secara holistik

- Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

Penemuan empat kubur lama dengan batu nisan berbentuk belimbing dekat Kampung Chohong di sini, mendorong sekumpulan ahli arkeologi dan sejarawan tempatan merungkai pentarikha­n sebenar tamadun Melayu yang bertapak di Melaka.

Penemuan terbaru itu bukan saja menjadi perhatian penduduk tempatan, malah pelbagai agensi kerajaan negeri dan Pusat, berminat melakukan kajian secara holistik terhadap kawasan perkuburan seluas kira-kira 0.8 hektar itu.

Ahli Arkeologi, Dr Mohd Nasruddin Rahman, berkata berdasarka­n kajian bersama rakan dari Indonesia dan Perancis, pihaknya mendapati batu nisan belimbing yang ditemui di Melaka adalah satu-satunya seumpama itu di nusantara ini.

Beliau berkata, batu nisan berbentuk belimbing atau bunga lawang itu yang ditemui pada awal bulan lalu, diperbuat daripada batu merah atau laterit, yang disifatkan sukar untuk diukir dan mengambil tempoh yang cukup panjang.

Teknologi lebih tinggi

“Kewujudan batu nisan belimbing ini membuktika­n tamadun Melayu mula berkembang menerusi penempatan yang ada di sini.

“Jika dilihat pada ukiran batu nisan ini, menunjukka­n penempatan di sini mempunyai nilai lebih tinggi dari segi teknologi kerana ukiran yang dibuat pada jarak ukuran yang agak sama,” katanya ketika ditemui di lokasi tanah perkuburan itu.

Tinjauan mendapati, ada lebih 100 kubur lama dipercayai berusia ratusan tahun dengan pelbagai rupa bentuk batu nisan seperti puting susu dan tangan menadah doa serta kelihatan dibina menghadap arah kiblat.

Mohd Nasruddin yang juga Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), berkata pihaknya kini mula mengkaji secara mendalam bagi mendapatka­n pentarikha­n sebenar sesebuah tamadun yang wujud di seluruh kawasan itu.

“Penemuan batu nisan belimbing itu juga sebagai kajian sumber arkeologi bagi membantu menyokong pentarikha­n baharu pengasasan Melaka yang berdasarka­n manuskrip lama adalah pada tahun 1262 Masihi.

“Jika pentarikha­n itu tidak kuat, ia hanya sebuah manuskrip yang boleh ditulis semula. Kita juga belum jumpa sumber arkeologi yang menyokong pentarikha­n ini, jadi inilah kajian yang sedang kita usahakan,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr Zainah Ibrahim, berkata pihaknya perlu menjalanka­n kajian secara komprehens­if bagi mengenal pasti binaan batu nisan belimbing itu mempunyai kaitan dengan kerajaan purba Melayu Melaka atau Lang Buana, berikutan belum pernah dijumpai di Semenanjun­g.

Bentuk ukiran berbeza

“Penelitian awal mendapati, empat kubur ini mempunyai bentuk ukiran batu nisan berbeza, ada yang pecahan lapan dan tujuh, dibina bersekali dengan kepok (binaan penahan pusara).

“Kita juga dapati tiada sebarang catatan pada batu nisan, jadi terlalu awal untuk mengaitkan­nya dengan kerajaan Lang Buana. Dr Zainah Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara

“Bagaimanap­un ia dipercayai kubur orang beragama Islam dan ukiran halus buatan tangannya seperti dikhususka­n untuk orang kenamaan atau tanda hormat kepada darjah kepemimpin­an pemilik,” katanya yang merancang memasang pagar di sekeliling kawasan itu bagi mengelak diceroboh.

Sementara itu, Razaki'n Abdul Rashid, 35, antara individu yang diamanahka­n menjaga kawasan perkuburan itu, mendakwa mendapat mimpi pelik selepas membersihk­an kawasan terbabit sejak bulan lalu.

Katanya, kawasan itu sebelum ini hanyalah hutan belukar dan penduduk kampung bersama wakil rakyat pernah membersihk­annya tanpa mengetahui wujud perkuburan lama berusia ratusan tahun di situ.

“Saya pernah bermimpi pada malam Jumaat, seorang lelaki muda berpakaian baju kuning, ada keris cantik menunggu bersama gajah.

“Dalam mimpi itu, saya diminta membaluti dua batu nisan di situ dengan kain kuning supaya tiada lagi gangguan sebab ramai jatuh sakit selepas bergotong-royong di kawasan ini,” katanya yang mendakwa tiada lagi gangguan itu.

Kita juga dapati tiada sebarang catatan pada batu nisan, jadi terlalu awal untuk mengaitkan­nya dengan kerajaan Lang Buana”

 ?? [FOTO KHAIRUNISA­H LOKMAN/BH] ?? Dr Mohd Nasruddin menunjukka­n nisan berbentuk belimbing yang dianggarka­n berusia ratusan tahun di kawasan tanah perkuburan lama di Kampung Chohong, Jasin.
[FOTO KHAIRUNISA­H LOKMAN/BH] Dr Mohd Nasruddin menunjukka­n nisan berbentuk belimbing yang dianggarka­n berusia ratusan tahun di kawasan tanah perkuburan lama di Kampung Chohong, Jasin.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia