Berita Harian

46 termasuk pemandu bas, lori positif dadah

3,361 saman pelbagai kesalahan dikeluarka­n operasi bersepadu di empat negeri

- Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my

Operasi Bersepadu Trafik selama dua jam di Johor, Kedah, Pahang dan Perak, kelmarin, membawa kepada penahanan 46 individu, termasuk pemandu bas dan lori kerana positif dadah, manakala 3,361 saman pelbagai kesalahan dikeluarka­n.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, berkata semua yang ditahan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dalam operasi dari jam 10 malam hingga 12 tengah malam itu.

“Semua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an, malah dua daripada yang ditahan turut memiliki dadah dipercayai untuk kegunaan sendiri.

“Sebanyak 1,115 daripada saman yang dikeluarka­n membabitka­n kesalahan melebihi had laju, manakala bakinya atas kesalahan lebih had muatan, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ruslan berkata, pihaknya turut menahan 29 pendatang asing tanpa izin atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen dalam operasi berkenaan.

Katanya, mereka yang ditahan kerana positif dadah disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

Nafi penguranga­n kompaun

“Seramai 193 anggota merangkumi JSPT, Jabatan Pengangkut­an Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) terbabit dalam operasi ini,” katanya.

Dalam perkembang­an berasingan, Ruslan menafikan JSPT mengeluark­an senarai kadar penguranga­n kompaun kesalahan lalu lintas seperti yang tersebar di laman sosial.

“JSPT tidak pernah mengeluark­an senarai kadar penguranga­n harga kompaun bagi kesalahan lalu lintas seperti disebarkan pihak tidak bertanggun­gjawab,” katanya.

 ?? [FOTO YAZIT RAZALI/BH] ?? Anggota AADK memeriksa dan menahan pemandu yang positif dadah ketika Operasi Terancang di Plaza Tol Sg Besi menghala Kuala Lumpur.
[FOTO YAZIT RAZALI/BH] Anggota AADK memeriksa dan menahan pemandu yang positif dadah ketika Operasi Terancang di Plaza Tol Sg Besi menghala Kuala Lumpur.
 ??  ?? Anggota JPJ melakukan pemeriksaa­n ke atas kenderaan berat.
Anggota JPJ melakukan pemeriksaa­n ke atas kenderaan berat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia