Berita Harian

2 lagi ahli geng ‘Rizal Kundang’ ditahan

-

Sungai Buloh: Dua lagi ahli geng ‘Rizal Kundang’ yang aktif dalam jenayah samun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kundang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superinten­dan Dr Abdul Aziz Awang Darus, berkata suspek lelaki dan perempuan masing-masing berusia 36 dan 19 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah malam, hasil maklumat orang awam dan risikan.

“Susulan kes seorang ahli geng terbabit yang cedera selepas ditembak ketika cuba melarikan diri daripada kepungan polis di Desa Coalfields, Khamis lalu, polis menahan dua lagi anggota kumpulan penjenayah terbabit.

“Dalam serbuan itu, polis merampas tiga parang dan sebilah pedang samurai dipercayai digunakan suspek untuk jenayah samun,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rampas syabu

Abdul Aziz berkata, polis turut merampas sejumlah syabu dalam serbuan itu dan percaya suspek terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Kundang.

Katanya, suspek lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitka­n samun dan curi kenderaan.

“Polis giat memburu seorang lagi anggota kumpulan itu iaitu Hamizan Mohid atau lebih dikenali sebagai Hamizan Gemuk berusia 25 tahun.

“Suspek dipercayai melarikan diri ketika polis menahan rakannya yang cedera dalam kejadian di Desa Coalfields,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek yang ditahan kini direman lima hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

BH sebelum ini melaporkan seorang lelaki ahli geng ‘Rizal Kundang’ berusia 40-an parah ditembak ketika cuba melarikan diri daripada kepungan polis di Desa Coalfields di sini, Khamis lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia