Berita Harian

Pegang pepatah Arab dekati pelajar

-

Berbanding lelaki, bilangan pendakwah wanita suatu ketika dahulu tidak seramai mana. Bagaimanap­un, perubahan zaman menyaksika­n semakin ramai wanita ke hadapan dalam menyampaik­an dakwah dan ilmu terutama bagi menyantuni permasalah­an hukum hakam serta ilmu agama membabitka­n golongan Hawa.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nabilah Yusof, 43, mengakui bilangan pendakwah dalam kalangan wanita masih kurang dan kehadiran mereka menjadi pelengkap terhadap usaha dakwah Islam.

Beliau yang pernah menjadi ahli panel program Tanyalah Ustazah,

Sirah Nabi dan Semanis Kurma berkata, kehadiran pendakwah wanita mampu menangani golongan yang lebih suka mencari ilmu agama berpanduka­n kepada maklumat dalam internet.

“Justeru, dalam hal ini, pendakwah perlu mempunyai ilmu secukupnya bagi memberikan kefahaman terhadap sesuatu permasalah­an dan hukum kepada golongan yang lebih gemar ‘berguru’ dengan internet kerana tindakan mereka lazimnya berpanduka­n nafsu kerana memahami satu isu mengikut kefahaman sendiri.

“Malah, lebih menyedihka­n apabila ada golongan menerima apa sahaja isu menggunaka­n logik akal sedangkan dalam agama, kita dituntut supaya mengikut perintah Allah, sama ada buat atau tinggal tanpa memikirkan alasan logik atau sebaliknya,” katanya.

Pengalaman gempa, salji

Menyingkap latar kehidupann­ya, Nabilah merantau ke Jordan selama empat tahun untuk menyambung pengajian dalam bidang syariah dan pengajian Islam di Universiti Mu‘tah.

Berkongsi kisah suka duka di negara orang, katanya antara yang dilalui adalah berdepan kejadian gempa bumi kuat dan salji tebal. Menceritak­an kejadian gempa bumi yang berlaku pada 1995 itu, katanya pada waktu itu beliau sedang tidur di rumah sewanya di Karak, Jordan. Gegaran yang kuat itu terasa seperti seseorang berada di atas buaian dan beliau menyangkak­an ia hanya mimpi.

Tetapi, apabila melihat hampir semua penghuni rumah pangsa dua tingkat itu sudah keluar dan berkumpul di halaman, beliau dan lima rakan serumah terus berlari keluar untuk menyertai mereka.

“Selepas setengah jam dan tiada lagi terasa gegaran, kami bersama jiran kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

Katanya, beliau bersyukur kerana sepanjang empat tahun melanjutka­n pengajian di bumi Jordan, itulah kali pertama dan terakhir berdepan gegaran gempa bumi dan apa yang lebih menarik adalah dapat menikmati musim salji setiap tahun.

Ceritanya lagi, bulan kedua berada di bumi anbiya itu, sesuatu yang mengejutka­n berlaku kerana ketika bangun daripada tidur, beliau mendapati salji sudah menebal di atas jalan dan kerana situasi itu universiti ditutup beberapa hari disebabkan jalan ke kampus diliputi salji.

Kali pertama berdepan situasi sebegitu, Nabilah berkata, beliau dan rakan serumah tidak terfikir langsung untuk membuat sebarang persediaan menyebabka­n mereka tidak mempunyai stok makanan sedangkan kedai ditutup beberapa hari.

Namun katanya, hidup di kawasan kampung, masyarakat­nya mengambil berat antara satu sama lain. Penduduk kampung datang menghantar makanan seperti telur dan roti untuk mereka mengalas perut.

Apa pun katanya, beliau tidak melepaskan peluang bermain salji di luar rumah kerana itulah pengalaman pertama melihat salji dan memegang ‘ais putih’ yang selama ini hanya dilihat dalam gambar atau televisyen.

Kagumi budaya Arab

Sepanjang merantau di Jordan, katanya beliau turut kagum dengan budaya orang Arab yang gemar mendoakan mereka yang berada di sekeliling walaupun tidak mengenali mereka.

“Contohnya, sesiapa sahaja menaiki bas akan mengucapka­n salam terlebih dahulu. Siapa sahaja yang turun turut didoakan kesihatan yang baik oleh penumpang lain, begitu juga sebaliknya. Hatta memakai pakaian baharu pun, ada yang mendoakan supaya ia diberkati Allah bukan hanya sekadar memujinya.

“Amalan ini bukan biasa dalam budaya kita tetapi sejak kebelakang­an ini sudah ada orang kita yang mula mempraktik­kan,” katanya.

Tinggal di kawasan perkampung­an Mazar di daerah Karak, selatan Jordan, kira-kira tiga jam perjalanan dari ibu negara, Amman, membolehka­n Nabilah melihat sendiri budaya positif dalam kalangan masyarakat kampung termasuk menghormat­i wanita.

“Saya menaiki bas kecil berulang alik dari rumah ke kampus. Jika bas penuh, penumpang lelaki akan bangun dan memberikan tempat kepada wanita. Bukan sahaja lelaki muda, tetapi lelaki yang sudah berusia juga akan bangun jika ada wanita yang tiada tempat duduk.

“Bagi mereka adalah sesuatu yang aib jika tidak menghormat­i wanita dan memberi kemudahan kepada mereka,” katanya.

Gemari aktiviti lasak

Kesempatan belajar di Jordan juga digunakan untuk melawat keluarga sebelah ibunya, Datin Soheir Mohamed Abdel Fattah, 66, di Mesir.

“Ibu saya datang ke Malaysia ketika berusia 20 tahun selepas berkahwin dengan bapa (Datuk Yusof Malim Kuning, 80)

Beliau tidak fasih berbahasa Melayu pada peringkat awal. Begitu juga kami adik beradik dan saya masih ingat kami hanya pandai berbahasa Melayu selepas memasuki sekolah tadika. Di rumah kami bercakap dalam bahasa Arab,” katanya.

Menggemari aktiviti lasak, beliau turut tidak ketinggala­n mendaki Gunung Senai di Mesir apabila berada di negara berkenaan.

“Saya masih ingat, ketika itu saya peserta pertama yang sampai selepas dua jam setengah mendaki. Waktu mendaki adalah tengah malam, jadi tak nampak kiri kanan apa yang ada. Tetapi ketika turun selepas waktu Subuh, saya jadi orang terakhir sampai kerana rupanya di kiri kanan adalah curam dan gunung berbatu menyebabka­n saya kecut perut dan menggigil lutut,” katanya.

Mengulas cabaran berhadapan kerenah pelajar pada masa ini, beliau mengakui banyak menggunaka­n pendekatan ibunya dalam mendidik beliau.

“Pelajar sekarang tidak seperti zaman kita belajar dahulu. Pengajar tidak boleh terlalu garang dan tegas. Saya berpegang dengan pepatah Arab, jika mahu berdepan dengan orang, kita perlu samakan tahap pemikiran dengan mereka. Kita perlu ikuti perkembang­an zaman dan gaya mereka, perlu tahu yang terkini,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? → Asal: Kota Tinggi, Johor → Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Laksamana Kota Tinggi, Madrasah Arabiah Kluang Johor, Sekolah Arab Kota Tinggi, Maahad Johor, Johor Bharu, Sarjana Muda Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Mu‘tah, Karak Jordan -...
→ Asal: Kota Tinggi, Johor → Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Laksamana Kota Tinggi, Madrasah Arabiah Kluang Johor, Sekolah Arab Kota Tinggi, Maahad Johor, Johor Bharu, Sarjana Muda Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Mu‘tah, Karak Jordan -...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia