Berita Harian

Tak jemu perjuang hak insan istimewa

Ras Adiba tekad perkasakan OKU Sentral untuk ubah persepsi masyarakat terhadap rakan senasib

- Oleh Hidayah Mohammad

Pernah dicemuh, dihalau malah dipandang rendah, dirinya juga terkilan apabila kemudahan khas seperti tempat letak kereta dan tandas yang disediakan untuk orang kurang upaya (OKU) sepertinya sering disalahgun­akan oleh masyarakat yang tidak prihatin.

Pengalaman yang ditempuhi personalit­i televisyen, Ras Adiba Radzi, 48, ketika awal meniti hidup sebagai OKU begitu menguji.

Tidak pernah terlintas di fikirannya, begitu buruk persepsi dan layanan segelintir masyarakat terhadap golongan kurang bernasib baik.

Enggan berterusan membiarkan hak insan sepertinya ditindas dan hanya berserah kepada takdir untuk mengubah sikap masyarakat, Ras Adiba yang mesra dengan panggilan Dib, terpanggil untuk bangkit memperjuan­gkan nasib OKU dengan memperkasa­kan OKU Sentral.

Ketika negara sedang bergembira meraikan kejayaan atlet kurang upaya yang meraih tiga emas dan satu gangsa pada temasya Paralimpik Rio 2016, Dib mengakui dirinya begitu terkesan malah turut berbangga dengan pencapaian yang dilakar insan yang senasib dengannya.

Bertemu insan yang lumpuh separuh badan daripada pinggang ke hujung kaki kesan kemalangan jalan raya pada 2002, Dib berkata, kejayaan tiga atlet paralimpik iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki; Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20 lelaki); Abdul Latif Romly (lompat jauh T20 lelaki) yang meraih emas manakala Siti Noor Radiah Ismail membawa pulang gangsa (lompat jauh wanita T20) membuka mata dan mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU.

Bangkit kesedaran

“Kejayaan mereka menyuntik kesedaran kepada masyarakat kerana atlet istimewa ini berusaha keras, iaitu lebih tiga kali ganda berbanding atlet normal lain untuk meraih kemenangan. Lebih membuka mata, kejayaan itu mereka kecapi hasil pengorbana­n apabila pernah berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan citacita,” katanya.

Ditemui selepas sidang media penubuhan OKU Sentral, di ibu kota, barubaru ini, Dib berkata, masyarakat juga mula akur tiada lagi yang mustahil dalam hidup ini.

“Mungkin pada permulaan sukar untuk mereka mencipta kejayaan namun atlet ini tidak pernah mengalah. Pencapaian cemerlang mereka belum tentu mampu digapai atlet lain yang sempurna. Saya benci apabila ada pihak menidakkan kemampuan mereka dengan menyifatka­n kemenangan itu kerana acara berkenaan mempertand­ingkan pelbagai kategori.

“Mereka juga berusaha tanpa mengenal erti putus asa, sama seperti insan lain yang sempurna fizikal. Saya juga begitu kerana masih aktif dalam sukan menembak walaupun berkerusi roda. Saya melakukann­ya sama seperti pemanah sempurna lain, malah lebih membanggak­an, pungutan mata saya lebih tinggi atau setara dengan mereka,” katanya.

Banyak bersabar

Mengimbau detik awal apabila terpaksa bergantung kepada kerusi roda, Dib berkata, dirinya hanya mampu memendam rasa dan mengalah serta bersabar dengan sikap segelintir individu yang tidak bertanggun­gjawab.

“Pernah sekali, ketika keluar makan di sebuah kedai, seorang wanita menghampir­i dan mengatakan, insan seperti saya hanya menyusahka­n orang lain dan lebih baik duduk di rumah. Pernah juga, ketika mahu menggunaka­n tandas OKU, seorang wanita yang sempurna fizikal sedang memandikan anaknya di situ.

“Dia mengarahka­n saya supaya menungguny­a hingga selesai. Bayangkan saya terpaksa menanti kirakira 20 minit hanya kerana sikap manusia tidak prihatin seperti ini,” katanya yang terus bangkit memperjuan­gkan nasib insan istimewa menerusi OKU Sentral.

Semangat berkobar

Dib yang juga pengasas OKU Sentral berkata, impian untuk memperkasa­kan pertubuhan itu tercetus, sejak tahun lalu. Semangatny­a menjadi semakin berkobar selepas menyelamat­kan masa depan seorang remaja lelaki yang murung dan marah kerana kehilangan kaki selepas ditimpa kemalangan.

“Saya dijemput ke hospital atas permintaan seorang doktor untuk memberi semangat kepada remaja itu. Sepanjang berada di sisinya, remaja itu langsung tidak bercakap walaupun sepatah.

“Apabila pulang, saya menerima panggilan daripada doktor terbabit dan memaklumka­n remaja itu sudah berubah. Dia mula bergerak sendiri menggunaka­n kerusi roda, malah turut ke gimnasium dan kembali bergaul dengan orang ramai.

“Sejak itu, hati saya terdetik untuk terus membantu dan memberi semangat kepada insan senasibnya supaya jangan sesekali putus asa dalam hidup walaupun bergelar OKU,” katanya

 ?? [ FOTO ROHANIS SHUKRI/ BH ] ??
[ FOTO ROHANIS SHUKRI/ BH ]
 ??  ?? Ras Adiba pada sidang media memperkasa­kan OKU Sentral, baru-baru ini.
Ras Adiba pada sidang media memperkasa­kan OKU Sentral, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia