Berita Harian

Sukan epik TD uji mental peserta

Lebih 700 peserta rempuh 13 halangan pada pertanding­an UKMHK bagi uji ketahanan fizikal, mental

- Oleh Haika Khazi di www.bharian.com.my

Jika dilihat secara kasar, Ujian Kemahiran Merentas Halangan dan Kawat 2016 (UKMHK) Tentera Darat (TD) lebih mirip kepada pertanding­an berpasukan yang cukup menguji ketahanan peserta.

Cabarannya memang cukup ekstrem kerana peserta perlu melepasi 13 halangan sepanjang laluan dan berakhir dengan ujian menembak tepat pada jarak 25 meter.

Namun, ia sebenarnya mempunyai serampang dua mata iaitu aktiviti sukan lasak dan latihan menempuh dunia peperangan sebenar.

Lambangkan kesiapsiag­aan

Bayangkan, ketika tahap kepenatan mencecah had maksimum, mereka diuji lagi dengan latihan menembak dan inilah detik terbaik untuk menilai kemampuan mental serta fokus mereka untuk membuat keputusan tepat ketika waktu sukar.

Bagi Ketua Staf Markas 12 Briged, Leftenan Kolonel Azudin Hassan, pertanding­an itu cukup istimewa kerana setiap cabaran direka berdasarka­n situasi peperangan sebenar.

“Kami mahu mereka sentiasa bersiap sedia daripada segi mental dan fizikal.

“Mereka bukan hanya perlu bekerjasam­a dan berfikiran kreatif untuk melepasi halangan, malah dalam keadaan penat harus menembak dengan tepat sasaran pada jarak 25 meter.

“Pertanding­an ini melambangk­an kesiapsiag­aan pegawai dan anggota apabila mereka berperang dalam hutan,” katanya ketika ditemui di Kem Perdana Sungai Besi di sini.

Wanita sertai kali pertama

Antara halangan yang dianggap cukup mencabar ialah memanjat tembok setinggi 12 kaki atau 3.65 meter serta larian jarak jauh.

Pertanding­an selama tiga hari bermula 5 September lalu itu disertai lebih 700 anggota dan pegawai tentera.

Pertanding­an sukan tradisi dan epik ini membabitka­n semua formasi TD dan setiap platun diketuai seorang pegawai dan mempunyai 25 anggota.

UKMHK kali ini juga mempunyai kelainan tersendiri apabila pertama kali disertai pasukan wanita yang terdiri daripada seorang pegawai dan 10 anggota lain-lain pangkat.

Ini menggambar­kan anggota TD wanita juga boleh digerakkan untuk mempertaha­nkan negara sekiranya wujud sebarang ancaman keselamata­n atau berlaku peperangan.

Berkongsi pengalaman menyertai cabaran ini, Ketua Platun Wanita, Leftenan Muda Farah Natasha Alias, dari Kor Ordnans Diraja (KOD) mengakui pertanding­an itu memang cukup mencabar bagi anggota tentera wanita sehingga ada yang mengalami kecederaan.

“Kami mempunyai 10 anggota dan seorang pegawai tetapi hanya sembilan menamatkan saingan kerana dua daripadany­a cedera. Kami hanya buat yang termampu kerana tidak cukup anggota dan masa untuk latihan adalah terhad,” katanya.

Bagi peserta yang pertama kali menimba pengalaman di UKMHK, Mohammad Nur Syafiq Mustaffa, 27, dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD), pertanding­an itu mencabar serta memenatkan tetapi cukup bersemanga­t untuk kembali semula pada tahun depan.

 ?? [FOTOOSMANA­DNAN /BH] ?? Sebahagian peserta terpaksa memanjat tembok ketika menjalani salah satu ujian UKMHK yang diadakan di Kem Perdana Sungai Besi, baru-baru ini.
[FOTOOSMANA­DNAN /BH] Sebahagian peserta terpaksa memanjat tembok ketika menjalani salah satu ujian UKMHK yang diadakan di Kem Perdana Sungai Besi, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia