Berita Harian

8 polis ceroboh rumah suspek ditahan

Anggota dari IPK Selangor, IPD Shah Alam masuk premis Geng Amerika Latin dengan niat mencuri

- Oleh Norashikin Leman bhnews@bh.com.my

Lapan anggota polis, termasuk seorang berpangkat inspektor ditahan kerana disyaki mencuri barang di kediaman suspek kes pecah rumah Geng Amerika Latin di ibu negara, minggu lalu.

Mereka yang ditahan Rabu lalu, adalah anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sumber polis memberitah­u, sebelum itu anggota berkenaan menahan lima ahli Geng Amerika Latin di sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail di ibu negara, jam 3 pagi pada 15 September lalu sebelum dihantar ke Lokap Berpusat Shah Alam.

Anggota polis terbabit kemudian menceroboh kediaman suspek di Kondominiu­m Sri Putramas, Kuala Lumpur, dengan niat untuk mencuri barang pada hari yang sama. Mereka memasuki premis itu menggunaka­n kunci yang ditemui dalam kereta suspek.

Bawa beg, barang turun

“Berdasarka­n rakaman kamera litar tertutup (CCTV), inspektor itu dan pasukannya dilihat membawa turun beberapa beg dan barang keluar dari lif sebelum menuju ke kereta dengan diiringi pengawal keselamata­n kondominiu­m berkenaan,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, kejadian berkenaan disedari apabila seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superinten­dan dari IPK Selangor pergi kondominiu­m berkenaan pada Rabu lalu, untuk siasatan susulan penahanan seorang lagi suspek rakyat tempatan di sebuah hotel di Lumut, Perak, pada 17 September lalu.

Lelaki 36 tahun itu dipercayai menyediaka­n rumah dan kenderaan kepada geng terbabit.

“Berdasarka­n siasatan dalam Sistem Laporan Polis (PRS), tiada laporan pemeriksaa­n atau rampasan di tempat kejadian dibuat oleh inspektor berkenaan atau pegawai lain. Mereka dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah suspek dengan niat untuk mencuri barang,” kata sumber itu.

Polis sedang menyiasat jenis dan nilai barang diambil anggota itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia