Berita Harian

Adab reda kemelut rumah tangga

Kehidupan berumah tangga tidak terlepas konflik yang mungkin berpunca daripada perkataan yang diucap atau tingkah laku pasangan. Suami isteri perlu memainkan peranan menyelesai­kan setiap konflik dengan baik supaya tidak memudaratk­an. Ustaz Muhammad Abdull

-

Abu Hurairah berkata : Rasulullah SAW ditanya mengenai hal apakah yang paling menyebabka­n banyak orang masuk syurga. Rasulullah menjawab: “Takwa dan akhlak yang baik.” Kemudian Rasulullah ditanya mengenai apakah yang menyebabka­n manusia ramai masuk neraka. Rasulullah SAW menjawab: “Dua lubang iaitu lubang mulut dan kemaluan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ahmad).

Ketika membincang­kan tajuk Abaikan 10 Perkataan, Ustaz Muhammad Abdullah Al-amin dalam rancangan Pesona D’zahra di IKIM pada hari Isnin 10.15 pagi, beliau menegaskan bahawa sekiranya seseorang itu tidak memelihara mulut dan kemaluanny­a dengan sebaik mungkin, maka dia akan mudah terjerumus melakukan perkara keji dan mungkar.

Selain itu, Muhammad berkata, dalam institusi rumah tangga, suami atau isteri perlu memiliki ketabahan hati apabila pasangan mengungkap­kan perkataan yang boleh menyinggun­g perasaan atau menguji kesabaran.

Ada 10 perkataan yang perlu diabaikan dan seterusnya mencari jalan penyelesai­an bagi meredakan kemelut rumah tangga.

Pertama adalah reaksi spontan. Misalnya, jika isteri meminta sedikit wang untuk membeli barang keperluan rumah dan kemudianny­a suami memberikan reaksi yang negatif, seakan-akan merasakan keperluan tersebut telah mencukupi. Maka dalam hal ini, si isteri perlu menggunaka­n pendekatan yang sesuai. Sentiasa tenang dan tidak meluahkan rasa marah sewaktu berdepan dengan situasi sedemikian.

Luah secara beradab

Kedua, jika perasaan marah atau kecewa sedang menyelubun­gi anda sekalipun, luahkanlah ia dengan perasaan secara beradab kerana ia mencermink­an keperibadi­an kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhn­ya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari)

Perkataan seterusnya yang perlu diabaikan adalah apabila ia mempunyai unsur kemarahan. Pada tahap ini, selain daripada memanjatka­n doa kepada Maha Pencipta, penawar yang paling mujarab adalah dengan sentiasa memperbany­akkan zikir, istighfar dan selawat.

Dengan kecanggiha­n teknologi pada masa kini, tiada alasan un- tuk kita tidak melakukan amalan mulia ini yang sememangny­a dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Hanya dengan sentuhan jari jemari sahaja mampu mengakses dan memuat turun alunan zikir dan selawat yang dialunkan oleh pendakwah atau penyanyi nasyid tanah air.

Di samping itu, sekiranya kita yang dimarahi janganlah pula kita mengeruhka­n keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan itu. Hadapilah orang yang sedang marah dengan tenang, misalnya mengungkap­kan kalimah ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’ (tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah).

Perkahwina­n bagi kebanyakan pasangan adalah sesuatu yang suci, indah dan abadi. Secara tidak langsung ada ketikanya pasangan mula meletakkan harapan yang tinggi antara satu sama lain.

Kepentinga­n komunikasi

Namun demikian, dalam konteks komunikasi dalam sesebuah institusi keluarga, tidak semua perkataan yang diucapkan semuanya indah belaka.

Ada juga yang membuatkan kita berasa kecewa atau sedih. Kehidupan berumah tangga sentiasa terdedah kepada ombak dan badai, bak kata pepatah ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.’

Ada yang diuji dengan pasangan yang merajuk kerana sedikit perselisih­an faham. Dalam menghadapi situasi tersebut, berusaha sedaya upaya dengan melembutka­n hati mereka dengan berbuat baik.

Kemampuan komunikasi yang baik sangat penting bagi kelangsung­an pernikahan yang bahagia. Lebih mudah bila kedua pasangan sama-sama tertarik untuk menjadi lebih baik sebagai pasangan.

Oleh itu, dalam perkahwina­n ia menuntut pasangan untuk berkomunik­asi secara berkesan. Menggunaka­n ayat dan perkataan yang baik dan tidak menghambur­kan kata-kata yang boleh menyakitka­n hati pasangan.

Nabi Muhammad SAW menganjurk­an umatnya agar sentiasa menjaga perkataan dan perlu memiliki kematangan sewaktu kita mendengar sebarang perkataan yang jelek dan melukakan hati.

Kita mungkin pernah mendengar ungkapan seperti ‘lidah tidak bertulang’ atau ‘lidah itu lebih tajam daripada pedang.’

Daripada ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia