Berita Harian

THT rangkul kejuaraan hatrik

Mudah tewaskan Sapura pada aksi final, lengkapkan kejuaraan berganda musim ini

- Oleh Naqib Nor Said

Pasukan Hoki Terengganu (THT) menempa sejarah apabila mencipta hatrik memenangi Piala TNB selepas menewaskan Sapura 3-0, pada aksi final di Stadium Tun Razak, di sini, malam tadi.

Kejayaan itu bermakna skuad bimbingan Sarjit Singh berjaya meraih kejuaraan berganda tiga tahun berturut-turut apabila sebelum ini turut merangkul kejuaraan Liga Hoki Malaysia sejak 2014.

Tonggak paling senior THT, Azlan Misron berkata ini adalah hasil yang terbaik dinikmati skuad bertaraf bintang itu selepas bergelut dengan prestasi goyah pada awal musim.

“Syukur Alhamdulil­lah, akhirnya kami berjaya meraih gelaran hatrik. Kami membuktika­n kepada semua yang kami mampu bangkit dengan memperbaik­i segala kelemahan di awal musim.

Tanpa aksi Marhan

“Kejayaan ini adalah hasil semangat berpasukan yang tinggi dan keupayaan mengekalka­n fokus sepanjang 60 minit permainan. Inilah hasilnya,” katanya selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, tanpa khidmat kapten Marhan Jalil menyaksika­n bahagian tengah Sapura sedikit tenggelam, dengan THT lebih banyak membuat penguasaan bola sepanjang perlawanan menerusi gerakan lincah jeneral tengah, Fitri Saari.

Sebaliknya, THT hanya memerlukan enam minit untuk membuka jaringan menerusi pakar pukulan sudut penalti Jang Jonhyun di depan kira-kira 2,000 penyokong yang membanjiri Stadium Tun Razak.

Sapura menerusi penyerang kebangsaan Firhan Ashari berpeluang menyamakan kedudukan tetapi dua kali dinafikan penjaga gol THT Hafizuddin Othman.

Ketika Sapura asyik melancarka­n serangan balas THT berjaya memanfaatk­an kekurangan pemain di bahagian pertahanan lawan untuk jaringan kedua menerusi gol padang penyerang import Argentina, Nicolas Enrique pada minit ke-22.

Tidak cukup dengan itu, THT yang meraih tujuh pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan, hampir menjaringk­an gol ketiga menerusi Faizal Saari namun percubaan penyerang negara itu hanya terkena tiang.

Jang mengesahka­n statusnya sebagai penjaring terbanyak liga dengan 16 gol apabila sekali lagi meledak jaringan kemenangan THT sembilan minit sebelum tamat perlawanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia