Berita Harian

Peguam Anwar bangkit tiga isu dalam semakan ketepikan sabitan

-

Putrajaya: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkit­kan tiga isu dalam permohonan semakan untuk mengenepik­an sabitan dan hukuman lima tahun penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantuny­a, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahnya, menyentuh berhubung ketidakadi­lan terhadap Anwar berdasarka­n dapatan mahkamah mengenai integriti lokasi kejadian liwat dan bukti Asid Deosiribon­ukleik (DNA), penyalahgu­naan proses dan konspirasi politik.

Sri Ram berkata, Anwar disabitkan atas kesalahan yang tidak pernah dilakukan kerana keterangan Mohd Saiful menyatakan beliau diliwat di atas permaidani di Unit 115-1, Kondominiu­m Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, sedangkan pasukan penyiasat yang tiba di lokasi tidak menemuinya.

Ketiadaan bukti

Pasukan itu didakwa menemui permaidani di unit bersebelah­an.

“Ketidakadi­lan terhadap Anwar jelas apabila beliau tidak melakukan kesalahan liwat itu berdasarka­n ketiadaan bukti permaidani, tetapi tetap disabitkan,” katanya.

Beliau juga menyentuh kelakuan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik sebagai pendakwa raya dalam kes Anwar di peringkat Mahkamah Rayuan dan Persekutua­n kerana menyertai ‘roadshow’ untuk memberikan penerangan mengenai kes itu selepas Mahkamah Persekutua­n membuat keputusan.

Sri Ram berkata, tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali, berbeza dengan sikap ditunjukka­n barisan pendakwaan di peringkat Mahkamah Tinggi, tanpa Muhammad Shafee.

Adakan ‘roadshow’

“Tidak pernah sekali pun dalam 50 tahun saya berkhidmat dalam bidang perundanga­n dan kehakiman, saya melihat seorang pendakwa raya mengadakan ‘roadshow’ dengan ahli politik kerana beliau adalah seorang profesiona­l,” katanya.

Ditanya Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, apakah dengan menyertai ‘roadshow’ itu boleh mempengaru­hi keputusan Mahkamah Persekutua­n, peguam itu berkata: “Kami menyatakan ia adalah rancangan yang sudah diatur sebelum itu”.

“Melihat kepada cara beliau (Muhammad Shafee) menyerang pemohon dalam ‘roadshow’ itu, kami menyatakan terdapat konspirasi politik dan Anwar adalah mangsa konspirasi berkenaan,” katanya.

Mengenai kenyataan akhbar dikeluarka­n oleh Pejabat Perdana Menteri 15 minit selepas penghakima­n Mahkamah Persekutua­n, Februari tahun lalu, Sri Ram berkata, ia turut menyokong dakwaan konspirasi politik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia