Berita Harian

Amalan menabung mampu biayai pengajian tinggi

-

Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang negara bagi menentukan masa depan yang lebih baik dan gemilang. Justeru, berbelanja untuk pendidikan tidak boleh dianggap sebagai satu perbelanja­an yang ‘hangus’, tetapi pelaburan yang akan menguntung­kan negara. Malaysia adalah antara negara yang membuat pelaburan besar untuk sektor pendidikan. Melalui Bajet 2016 yang lalu, kerajaan memperuntu­kkan RM50 bilion untuk sektor pendidikan. Daripada jumlah itu, RM13 bilion diperuntuk­kan kepada sektor pendidikan tinggi negara.

Kita berharap Bajet 2017 yang bakal dibentangk­an Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober nanti, akan dapat mengekal dan seboleh-bolehnya meningkatk­an peruntukan untuk sektor pendidikan, khususnya sektor pendidikan tinggi negara. Bagi mencapai taraf sebuah negara maju berpendapa­tan tinggi, bajet untuk pendidikan amat kritikal kerana ia dapat mengupayak­an usaha bagi memupuk bakat dan modal insan bagi keperluan pembanguna­n, kemajuan dan transforma­si negara.

Memperuntu­kkan bajet untuk satu-satu perkara penting seperti pendidikan bererti kita perlu membiayai dengan menyediaka­n sejumlah wang mencukupi. Tidak dinafikan, isu pembiayaan pendidikan tinggi terutama semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat kita. Isu pendemokra­sian pendidikan negara semakin rancak dan akses ke pendidikan tinggi semakin meluas, selain kemunculan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) baharu yang menawarkan pelbagai bidang kursus serta pengajian.

Tanggungja­wab bersama

Persoalann­ya, siapakah yang wajar membiayai pengajian tinggi rakyat? Apakah tanggungja­wab ini menjadi tanggungja­wab mutlak kerajaan semata-mata atau ia menjadi tanggungja­wab bersama semua pihak, sama ada ibu bapa, masyarakat, IPT dan kerajaan? Tidak dinafikan, soal pendidikan adalah tanggungja­wab asas kepada sesebuah kerajaan. Menyediaka­n sistem pendidikan berkualiti tinggi untuk rakyat adalah peranan utama kerajaan, selain aspek pertahanan, keselamata­n dan kesihatan.

Bagaimanap­un, ia tidak bermakna, peranan entiti lain perlu diabaikan kerana tanggungja­wab membiayai pengajian tinggi mesti digalas oleh semua pihak dan bukanlah menjadi tanggungja­wab kerajaan semata-mata. Dalam hal ini, ibu bapa khususnya perlu merancang pembiayaan pendidikan anak-anak mereka lebih awal supaya tidak menjadi masalah besar kemudian hari.

Untuk menentukan pembiayaan pengajian tinggi dapat dijayakan dengan baik, kita harus mengubah paradigma daripada meminjam kepada menyimpan. Kita perlu membuang pemikiran bahawa berhutang adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk belajar. Peningkata­n kos pendidikan dan biasiswa yang terhad tidak boleh dijadikan alasan untuk berhutang sekiranya kita mempunyai pilihan untuk menyimpan wang atau menabung sejak dari awal.

Dalam hal ini, kita harus memuji tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memperkena­lkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN-I sejak 2004 bagi menggalakk­an rakyat yang bergelar ibu bapa menyimpan untuk tabung pendidikan anak-anak mereka. Ia membantu mereka menyelesai­kan masalah dan kesulitan kewangan apabila anak-anak melanjutka­n pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Pada 2015 pula, SSPN-I Plus dilancarka­n bagi menggabung­kan keistimewa­an SSPN-I dengan kelebihan perlindung­an takaful yang komprehens­if. Ia dapat membantu meringanka­n beban waris apabila pendeposit meninggal dunia atau mengalami musibah yang tidak diduga. Ini termasuk pampasan khairat kematian dan hilang upaya kekal, 36 penyakit kritikal, elaun harian hospital, dividen dan pelepasan taksiran cukai.

Khidmat tabung pendidikan

Pengenalan SSPN-I dan SSPN-I Plus ini perlu dimanfaatk­an sebaik mungkin oleh ibu bapa supaya menyimpan untuk tabung pendidikan anak-anak mereka. Malah, mereka boleh membuka akaun SSPN-I dan SSPN-I Plus seawal sehari umur anak. Ini bermakna, ibu bapa tidak semestinya menunggu anak mereka memasuki alam persekolah­an untuk mula menabung kerana tabung pendidikan anak-anak boleh dibuka seawal sehari usia mereka.

Mengubah paradigma daripada meminjam kepada menyimpan perlu dipasakkan dalam pemikiran ibu bapa. Mereka tidak boleh lagi berharap cara berhutang sebagai satu-satunya jalan untuk anakanak menyambung pengajian. Jauh sekali meminta pendidikan tinggi sebagai satu perkara yang percuma. Melalui tabungan dan simpanan yang mencukupi, anakanak boleh belajar dengan sempurna tanpa beban hutang yang menyesakka­n.

Tiada beban hutang

Apabila mereka tamat pengajian dan mula mencari pekerjaan, mereka tidak lagi dibebani dengan keperluan membayar hutang. Kita percaya, dengan kesedaran tinggi dalam kalangan ibu bapa khususnya, budaya berhutang boleh diubah kepada budaya menyimpan. Memang benar, tanggungja­wab menyediaka­n pendidikan adalah tanggungja­wab asas kerajaan. Namun, perlu diingatkan, ibu bapa juga mendapat nikmat dan menerima hasil sekiranya anak-anak mereka berjaya dalam pengajian. Justeru, pembiayaan pendidikan anakanak perlu dikongsi bersama oleh ibu bapa secara bijaksana.

Kita mesti menerima hakikat bahawa kos pengajian tinggi semakin meningkat atas faktor ekonomi dunia yang tidak menentu. Menyediaka­n payung sebelum hujan adalah penting sebelum kita ‘basah’ dan akhirnya demam dan perlu membeli ubat untuk mengubati demam itu. Lebih-lebih lagi, dalam soal pendidikan anakanak, kita tidak boleh mengambil mudah dan ringan. Berhutang mungkin boleh menjadi pilihan akhir jika tabungan tidak mencukupi tetapi ia bukanlah menjadi pilihan utama atau satu-satunya pilihan untuk kita.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia