Berita Harian

UMNO Pulau Pinang enggan sokong PFP

Hasrat tanding 25 kerusi DUN bertentang­an semangat setia kawan

- Oleh Siti Sofia Md Nasir

UMNO Pulau Pinang tidak akan menyokong penubuhan Penang Front Party (PFP) dan ahlinya, walaupun parti itu mendakwa mesra Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Perhubunga­n UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata hasrat PFP untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kononnya untuk menentang DAP, sama sekali tidak dapat diterima kerana mereka juga bakal berhadapan calon BN.

“Tidak mungkin UMNO Pulau Pinang menyokong hasrat PFP yang jelas bertentang­an dengan prinsip dan semangat setia kawan antara parti komponen BN.

Tak pernah dirujuk

“Sepanjang pengetahua­n saya, penubuhan PFP ini tidak pernah dirujuk kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubunga­n UMNO negeri. Malah, tiada sebarang lantikan atau persetujua­n diberi oleh UMNO kepada PFP,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, PFP yang dinaungi Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, mengumumka­n akan bertanding di Pulau Pinang pada PRU-14 untuk menentang semua calon DAP.

Parti berasaskan masyarakat Cina itu turut mengumumka­n rancangan membina kasino di negeri ini sekiranya dipilih mentadbir Pulau Pinang.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican, berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk membina kasino di negeri ini.

“Cadangan PFP untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang sekiranya mereka menang PRU-14 adalah cadangan dangkal dan tidak mengambil kira sensitivit­i masyarakat tempatan.

“Perjudian bukan budaya rakyat Malaysia. Saya yakin dan percaya majoriti rakyat Pulau Pinang yang bukan Islam turut menolak sebarang aktiviti perjudian kerana ia adalah racun yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia