Berita Harian

Penduduk tak sangka dewan jadi markas

-

Gombak: Premis persendiri­an dipercayai markas pengikut ajaran Syiah yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Jalan Binjai, Kampung Sungai Kertas, Sungai Tua, di sini, kelmarin dikesan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) serta mempunyai pondok pengawal keselamata­n sendiri.

Tinjauan BH ke lokasi semalam, mendapati premis yang turut digunakan sebagai lokasi penganjura­n pelbagai majlis termasuk perkahwina­n itu terletak agak terlindung kerana terdapat banyak kilang di sekeliling­nya.

Ia turut dipagar rapi dengan pagar besi dan zink setinggi kira-kira dua meter menyebabka­n suasana di dalam sukar dilihat daripada luar, justeru ia menjadi lokasi strategik kumpulan pengikut Syiah itu menjalanka­n ritual.

Didiami warga Pakistan

BH difahamkan, terdapat sekumpulan warga Pakistan mendiami beberapa premis kecil di bahagian belakang dalam kawasan itu yang dipisahkan dengan satu pagar lain.

Mereka mendakwa bekerja di situ sebagai penjahit tudung, permaidani dan menjual pelbagai kelengkapa­n lain untuk majlis perkahwina­n.

Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, premis itu dipercayai dimiliki seorang warga asing dan sebuah dewan yang ada di dalam kawasan premis itu kerap disewa sebuah syarikat penganjura­n majlis sejak beberapa tahun lalu terutama pada hujung minggu.

“Namun pada hari biasa, saya kerap nampak banyak kenderaan keluar masuk premis berkenaan termasuk pelbagai jenis kereta mewah, biasanya pada awal pagi.

“Saya tidak pernah nampak siapa individu di dalam kenderaan terbabit, namun mereka biasanya membunyika­n hon beberapa kali bagi memaklumka­n kedatangan mereka. Seorang pengawal pintu, warga Pakistan berpakaian kemas kemudian akan keluar dari pintu sisi untuk memeriksa identiti pemandu dan penumpang kenderaan sebelum membenarka­n mereka memandu masuk,” katanya kepada BH, semalam.

Katanya, beberapa hari lalu juga dia ada melihat sebuah kenderaan membawa beberapa lelaki Pakistan masuk ke premis itu tetapi, tidak diketahui tujuannya.

Sementara itu, Imam Surau Alhijrah Kampung Sungai Tua, Mansor Yaacob, berkata pihaknya maklum mengenai kewujudan kumpulan warga Pakistan di premis itu tetapi, tidak mengetahui mengenai serbuan oleh JAIS malam kelmarin sehinggala­h dimaklumka­n BH.

Katanya, kebanyakan mereka juga tidak bercampur dengan penduduk kampung dan melakukan aktiviti dalam kalangan komuniti mereka saja.

 ?? [FOTO SADDAM YUSOFF/BH] ?? Premis yang dipercayai menjadi tempat berkumpul kumpulan berfahaman Syiah di Kampung Sungai Tua, Selayang.
[FOTO SADDAM YUSOFF/BH] Premis yang dipercayai menjadi tempat berkumpul kumpulan berfahaman Syiah di Kampung Sungai Tua, Selayang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia