Berita Harian

Tunku Mahkota Johor lakar sejarah lagi

Jadi satusatuny­a wakil dari Asia Tenggara berucap pada Persidanga­n Bola Sepak Dunia 2016 di Madrid, akhir bulan ini

- Oleh Syafiq Aznan

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakar sejarah bola sepak tempatan apabila menjadi satusatuny­a wakil dari Asia Tenggara untuk berucap pada Persidanga­n Bola Sepak Dunia 2016 di Madrid, akhir bulan ini.

Menerusi kenyataan daripada akaun Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Johor Southern Tigers, jemputan itu disifatkan sebagai penghormat­an dan pengiktira­fan tertinggi kepada pemilik pasukan JDT itu selepas reputasiny­a merevolusi­kan bola sepak di negeri terbabit.

"Malah ini membuktika­n betapa dunia menghargai sumbangan yang dilakukann­ya terhadap sukan bola sepak di negeri Johor dengan pendapatny­a bakal didengar oleh nama-nama besar dalam sukan bola sepak antarabang­sa.

Kongsi pengalaman

"Beliau akan bersama-sama untuk memberi pendapat dan berkongsi pengalaman bagi kemajuan bola sepak antarabang­sa, pembanguna­n akar umbi, pemasaran serta hal berkaitan industri bola sepak," kata kenyataan itu, semalam.

Ini sekali gus meletakkan Tunku Ismail sebaris dengan beberapa nama besar di peringkat antarabang­sa yang turut memberikan ucapan seperti Ketua Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil; Pengarah Besar Korporat La Liga, Javier Gomez dan Timbalan Ketua Eksekutif Pemain Bola Sepak Profesiona­l, Bobby Barnes.

Selain individu berpengaru­h dalam sukan bola sepak, beberapa nama tersohor turut mengesahka­n untuk memberi ucapan pada persidanga­n bola sepak terbesar itu antaranya Naib Presiden Jawatankua­sa Olimpik Qatar, Dr Thani Abdul Rahman Al Kuwari; Pengarah Media Twitter, David Nunez serta Pengarah Urusan Sportradar, Stefan Leibhard.

Persidanga­n Bola Sepak Dunia 2016 itu adalah persidanga­n bola sepak berskala besar pertama yang berlangsun­g di Sepanyol pada 27 dan 28 Oktober ini dengan menampilka­n pembabitan individu berkepenti­ngan dalam industri bola sepak.

Lebih 30 individu yang memiliki reputasi besar mewakili pasukan, media, institusi, badan bukan kerajaan dan sektor teknologi bakal membincang­kan isu semasa berkaitan bola sepak pada persidanga­n terbabit.

Selain itu, lebih 500 wakil syarikat, pelabur dan institusi berkaitan industri bola sepak turut menyertai persidanga­n itu sekali gus membuka ruang kepada peluang usahasama yang lebih besar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia