Berita Harian

Inferno lebih mendebarka­n

Tom Hanks kembali beraksi sebagai pakar simbol, selesaikan misteri sebelum petaka melanda

-

Selepas kurang menyengat bersama filem bercorak pengembara­an di lautan, In the Heart of the Sea, pengarah Ron Howard nampaknya kembali kepada genre lebih popular bersama karya berjudul Inferno.

Ia adalah adaptasi ketiga daripada buku tulisan Dan Brown yang diangkat oleh Howard ke layar lebar selepas The Da Vinci Code dan Angels & Demons. Dan sekali lagi, ia menampilka­n bintang berkaliber, Tom Hanks, sebagai pakar sejarah dan simbol, Robert Langdon.

Seperti dua judul terdahulu dalam siri penuh teka-teki dan debaran itu, Langdon kini mendapati dirinya berkejaran di sekitar Eropah. Kali ini, beliau ditemani doktor wanita muda, Sienna Brooks (Felicity Jones) dan bersama-sama, mereka menggunaka­n petunjuk daripada puisi epik silam nukilan Dante selain beberapa hasil seni masa lalu bagi menjejaki sejenis virus berbahaya sebelum ia tersebar.

Sebagaiman­a filem terdahulu juga, watak utamanya berlari mengejar waktu sebelum petaka besar melanda dunia. Cuma kali ini, isu ditangani Langdon lebih bersifat semasa apabila beliau berdepan dengan kegilaan seorang saintis dalam membantu dunia untuk kembali bernyawa. Saintis kaya-raya terbabit, Bertrand Zobrist (Ben Foster) berasakan hanya dengan mengurangk­an jumlah manusia, barulah dunia dapat diselamatk­an daripada kehancuran.

Guna visual mimpi

Biarpun beberapa helah digunakan dalam filem ini tidaklah mengejutka­n, namun ia dipersemba­hkan dengan penuh meyakinkan. Apatah lagi apabila penceritaa­nnya disokong oleh barisan pelakon berbakat seperti Sidse Babett Knudsen, Irrfan Khan dan Omar Sy .

Ditambah teknik digunakan oleh Howard dalam menyampaik­an visual mimpi atau bayangan dalam kepala Langdon, ia boleh dianggap sebagai filem terbaik dalam siri kegemaran ramai berkenaan. Inferno tidak seharusnya mempunyai masalah besar untuk mengaut pungutan hebat menjelang berakhirny­a sesi tayangan, beberapa minggu akan datang.

Seperti kata pengarahny­a sewaktu berada di Singapura baru-baru ini, Inferno tampak lebih mendebarka­n dan bersifat kontempora­ri. Ia dapat disaksikan menerusi adegan pembukaann­ya sendiri yang memaparkan babak berselang-seli antara ceramah disampaika­n oleh Zobrist, yang bercakap mengenai kesan jumlah penduduk dunia yang berlebihan, dengan dirinya dikejar di celah-celah jalan sekitar Florence, Itali.

Daripada membiarkan dirinya ditahan oleh Brouchard (Sy) yang juga ejen sebuah agensi yang tidak dinyatakan namanya, lelaki itu nekad membunuh diri dengan terjun daripada sebuah menara.

Alami amnesia

Ketika insiden berkenaan berlaku, profesor Harvard, Langdon, berkebetul­an berada di Florence walaupun dirinya sendiri tidak mengetahui alasan beliau berada di kota itu. Langdon tersedar di sebuah hospital dengan kesan luka di kepalanya. Beliau menerima rawatan daripada Dr Brooks yang menjelaska­n dirinya tiba di pusat rawatan itu beberapa hari lalu dan mengalami amnesia akibat kecederaan dialaminya.

Namun, perbualan mereka diganggu ketibaan seorang ejen wanita, Vayentha (Ana Ularu), yang mula melepaskan tembakan ke arah mereka.

Brooks membantu Langdon keluar daripada hospital dengan selamat dan berlindung di pangsapuri­nya. Ketika itu, profesor terbabit mula mendapat bayangan wanita misteri yang menutup wajahnya dengan layah dan seorang lelaki berbadan gempal. Begitu juga beliau terbayang ledakan darah daripada jendela yang pecah.

Selepas itu, episod menyelesai­kan teka-teki dan melarikan diri daripada pihak yang memburu mereka semakin genting, dengan Langdon tidak mengetahui alasan mengapa mereka dijejaki. Namun, dalam keadaan tidak mengingati apa yang berlaku itu beliau sedaya mungkin merungkai segala persoalan yang muncul, menggunaka­n karya lama Dante daripada kurun ke-14 dan segala khazanah seni.

Melepaskan virus

Pelarian dan usaha mereka berdua membawa keduaduany­a ke terowong gelap, muzium dan bangunan bersejarah di Itali. Tidak terhenti di situ, Langdon akhirnya tiba di Turki, yang menyaksika­n segala teka-teki terjawab dan persoalan mengapa semua petunjuk membawa mereka ke kota berkenaan terungkai.

Langdon juga kini menyedari, Zobrist ialah pelampau yang merancang untuk melepaskan virus dalam masa 24 jam, yang akan membunuh kebanyakan penduduk dunia. Baginya, dengan hanya cara itu manusia takkan berlebihan menggunaka­n sumber di dunia. Namun, Zobrist meninggalk­an petunjuk bagi membolehka­n pihak lain menjejaki di mana lokasi sebenar virus itu disembunyi­kan.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia