Berita Harian

BANGLADESH MASUK MELALUI INDONESIA

Modus operandi terbongkar selepas bot dinaiki tersekat di beting pasir di Tanjung Karang

- Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Norzamira Che Noh

Masuk dan keluar melalui Indonesia kini dilihat menjadi pilihan pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh untuk berada di negara ini.

Terbaru, sekumpulan 20 warga Bangladesh ditahan pasukan polis marin (PPM) selepas bot dinaiki mereka terkandas di beting pasir di perairan Kuala Sungai Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, petang kelmarin, dipercayai cuba memasuki Malaysia melalui Indonesia.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang, Asisten Superinten­dan Mohd Rohaizad Mohd Nasir, berkata kumpulan lelaki warga Bangladesh yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Sebelum ini, ada sekumpulan warga Bangladesh menggunaka­n modus operandi sama dengan menggunaka­n negara ketiga untuk datang ke negara ini.

“Malah, ada juga warga Bangladesh ini dikesan ke Indonesia dari negara ini, bertujuan untuk ke Australia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Rohaizad berkata, dalam kes Isnin lalu, hanya seorang daripada kumpulan lelaki yang ditahan itu boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Guna laluan tidak wartakan

Katanya, mereka didapati memasuki negara jiran itu dengan menggunaka­n pasport yang sah, namun datang ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan.

“Pemeriksaa­n dijalankan mendapati pasport warga Bangladesh berkenaan menunjukka­n mereka memasuki Indonesia pada tarikh yang berbeza antara dua tiga hari lalu hingga sekurang-kurangnya beberapa bulan sebelum ini.

“Ketika ditahan tekong bot pom pom yang didaftarka­n di Indonesia itu tidak berada di situ. Mereka yang ditahan dibawa ke Jeti Nelayan Bagan Pasir, Tanjong Karang untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

Mohd Rohaizad berkata, semua pendatang terbabit ditahan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia mengikut laluan tidak diwartakan.

 ?? [FOTO IHSAN PPM] ?? Sebahagian daripada 20 orang lelaki warga Bangladesh yang ditahan selepas cuba masuk melalui jalan yang tidak diwartakan di Kuala Sungai Bagan Tengkorak, Tanjung Karang.
[FOTO IHSAN PPM] Sebahagian daripada 20 orang lelaki warga Bangladesh yang ditahan selepas cuba masuk melalui jalan yang tidak diwartakan di Kuala Sungai Bagan Tengkorak, Tanjung Karang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia