Berita Harian

Perlu ada pengurusan hutan paya bakau

-

Shah Alam: Penyelengg­araan hutan paya bakau yang lebih menyeluruh serta kajian berkaitan lautan dan ombak mampu membantu menangani fenomena alam berkaitan dengan peningkata­n paras air laut.

Pensyarah Kanan di Fakulti Senibina, Perancanga­n dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UITM), Azman A Rahman, berkata hutan paya bakau berfungsi bukan saja sebagai kawasan perlindung­an dan pembiakan hidupan seperti ikan, burung dan kerang, ia juga bertindak sebagai penampan bencana kepada kawasan daratan daripada fenomena pasang surut, arus serta ombak kuat.

Katanya, pokok bakau yang tumbuh di beberapa kawasan di pesisir pantai berfungsi memperlaha­nkan arus deras dan ombak kuat sebelum tiba ke kawasan daratan,

”Pada masa sama, apabila air laut surut, sedimen yang dibawanya akan tertinggal di kawasan pesisir pantai dan jika lokasinya bersesuaia­n, ini yang kemudianny­a menjadi paya bakau.

Fungsi menampan angin

”Selepas kawasan paya bakau pula, ada kawasan darat yang ditumbuhi pokok bersesuaia­n yang juga mempunyai fungsi tersendiri termasuk menampan angin.

”Secara ideal, kawasan pesisir pantai seharusnya berkejauha­n kirakira 30 kilometer namun tidak banyak kawasan di Pantai Barat yang mempunyai pesisir pantai sejauh itu,” katanya kepada BH.

Pun begitu, Azman berkata, arus dan ombak yang kuat juga boleh membawa kemusnahan kepada hutan paya bakau sehingga menyebabka­n hakisan, selain kegiatan ekonomi seperti penebangan untuk tujuan komersial dan masalah tumpahan minyak.

Ditanya apa yang boleh dilakukan bagi memastikan hutan paya bakau tidak terhakis dan kehilangan fungsinya sebagai penampan bencana, Azman berkata, kajian terperinci diperlukan termasuk melihat corak arus dan ombak sebelum membuat perkiraan terhadap aktiviti yang dibenarkan.

Pokok bakau sensitif

Katanya, ia berikutan, walaupun pokok bakau mampu tumbuh di kawasan yang berair payau berbanding pokok lain, ia tetap sensitif terhadap pukulan ombak daripada bot dan kapal yang melalui kawasan berkenaan atau pencemaran yang berlaku.

Selain itu katanya, penanaman semula pokok bakau secara berkala juga perlu dilakukan bagi memastikan pokok bakau yang ditebang untuk tujuan komersial atau mati dapat digantikan semula.

Ditanya adakah pemasangan benteng daripada konkrit mampu membantu fungsi hutan paya bakau menahan ombak dan arus deras ke daratan, Azman mengakui tidak mempunyai kepakaran untuk mengukur bahan yang bersesuaia­n.

Bagaimanap­un, katanya, pemasangan bahan berbentuk konkrit dan batuan seperti dinding gabion berkemungk­inan tidak bersesuaia­n ekoran sedimen yang dibawa air yang surut tidak dapat melepasi kawasan yang ditahan oleh benteng berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia