Berita Harian

Laluan bersalji, suhu sejuk jadi cabaran

Pemeriksaa­n ketat di sempadan China, Kazakhstan sebabkan perjalanan tertangguh empat jam

-

Laluan bersalji menjadi cabaran baharu peserta konvoi Jelajah Eropah 2016 sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017, sebaik melepasi pintu sempadan China-kazakhstan di Korgas, petang kelmarin.

Suhu dicatat serendah negatif dua darjah Celsius menyebabka­n 17 kenderaan yang kini sudah menempuh perjalanan sejauh kirakira 9,900 kilometer (km) bermula dari Kuantan, Pahang pada 24 September lalu, sekali lagi diuji dengan laluan tidak rata dan berlopak sebaik memasuki negara bekas wilayah Soviet Union itu dari daerah Taldy Korgan.

Pemeriksaa­n ketat di kedua-dua pintu sempadan di China dan Kazakhstan, menyebabka­n perjalanan konvoi kenderaan pelbagai jenis itu tertangguh empat jam, selain terpaksa mengusung beg dan berjalan kaki sejauh 150 meter.

Bandar Almaty, Kazakhstan menjadi lokasi persinggah­an pertama peserta selepas menamatkan pemanduan sejauh 380 kilometer dari pintu sempadan China-kazakhstan.

Pasukan teknikal kembara turut mengambil kesempatan ketika menginap di bandar yang menempatka­n beribu-ribu artifak serta hab perdaganga­n dan budaya di Kazakhstan itu, untuk menukar tayar kenderaan bagi menyesuaik­an dengan keadaan laluan sejuk serta bersalji.

Sebanyak 12 kenderaan konvoi turut mengalami kesulitan selepas tidak dilengkapi alat pemanas kenderaan, menyebabka­n pemanduan sedikit terganggu terutama pada tengah malam dan awal pagi.

Ketua Ekspedisi Jelajah Eropah 2016, Datuk Zamri Mohamed, berkata penukaran tayar bersesuaia­n bagi menempuh perjalanan panjang sehingga ke Moscow, Russia dan beberapa negara Eropah lain selepas ini, amat diperlukan.

Lebih mencabar

Beliau berkata, laluan seterusnya menuju ke pusat pentadbira­n di Astana juga dijangka lebih mencabar dengan suhu dicatat lebih rendah iaitu sekitar negatif lima hingga 10 darjah Celsius, selain salji lebih tebal.

“Ini persediaan kami dalam menempuh perjalanan seterusnya yang kita jangka lebih sejuk dan bersalji terutama ketika memasuki bandar Moscow, Russia.

“Penukaran tayar khas bagi laluan salji ini amat diperlukan bagi membolehka­n perjalanan lebih lancar. Tayar sedia ada tidak sesuai dan boleh mendatangk­an bahaya kepada pemandu jika digunakan dalam perjalanan seterusnya,” katanya.

Beli alat pemanas kenderaan

Beliau berkata, sebanyak 12 alat pemanas kenderaan juga sudah dibeli bagi membolehka­n keselesaan pemanduan ketika musim sejuk.

Memasuki hari ke-25 hari ini, konvoi meneruskan perjalanan sejauh 591km ke bandar Astana, selepas menamatkan perjalanan sejauh 634km dari Almaty ke bandar The Balkhash, semalam.

Ketika mengakhiri perjalanan di China minggu lalu, peserta turut berkesempa­tan berkunjung ke beberapa masjid dan menziarahi perkampung­an Islam di wilayah Xinjiang yang merangkumi bandar Hami, Turfan serta Urumqi.

Kampung Mazak yang terletak di Lembah Tuyuk atau 35 kilometer dari bandar Turfan, China antara lokasi dikunjungi dengan kawasan berkenaan menyajikan keindahan alam semula jadinya.

Menempatka­n kira-kira 370 penduduk yang kebanyakan­nya berketurun­an Uighur, perkampung­an terbabit turut memiliki nostalgia dan peradaban dianggar berusia 2,600 tahun serta adat resam tersendiri.

Penukaran tayar khas bagi laluan salji ini amat diperlukan bagi membolehka­n perjalanan lebih lancar. Tayar sedia ada tidak sesuai dan boleh mendatangk­an bahaya kepada pemandu jika digunakan dalam perjalanan seterusnya” Zamri Mohamed, Ketua Ekspedisi Jelajah Eropah 2016

 ??  ?? 17 buah kenderaan konvoi terpaksa menempuh laluan bersalji berikutan salji mulai turun ketika peserta mula memasuki bandar raya Almaty.
17 buah kenderaan konvoi terpaksa menempuh laluan bersalji berikutan salji mulai turun ketika peserta mula memasuki bandar raya Almaty.
 ??  ?? Tayar kenderaan konvoi terpaksa ditukar khas bagi menempuh laluan bersalji di Kazakhstan.
Tayar kenderaan konvoi terpaksa ditukar khas bagi menempuh laluan bersalji di Kazakhstan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia