Berita Harian

Tiga ditahan kes kasari wartawan buat liputan

-

Kuala Selangor: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam insiden mengasari sekumpulan wartawan yang membuat liputan penyebaran risalah BERSIH 5, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superinten­dan Ruslan Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wartawan wanita sebuah akhbar tempatan mengenai kejadian itu.

Katanya, mangsa membuat laporan beliau dan rakan media lain dikasari sekumpulan lelaki di hadapan pintu masuk pasar raya Giant Pasir Penambang, Kuala Selangor kira-kira jam 6 petang kelmarin dan insiden itu tersebar dalam laman sosial.

“Menurut pengadu, ketika itu beliau bersama dua rakan wartawanny­a diarahkan membuat liputan aktiviti kumpulan Konvoi BERSIH 5 di Kuala Selangor.

“Ketika kejadian, pengadu dan rakannya dikepung, dipaksa dan diugut supaya memadamkan rakaman video yang dirakam pengadu, selain bajunya ditarik sekumpulan lelaki yang menentang peserta Konvoi BERSIH 5 yang sedang mengedarka­n risalah itu.

Buka kertas siasatan

“Kejadian itu berjaya dileraikan polis, manakala pengadu dan rakannya tidak mengalami kecederaan dalam kekecohan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Ruslan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan menahan tiga lelaki berusia 30-an dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Polis Daerah Kuala Selangor juga mengesahka­n ada menerima laporan pada 15 Oktober berhubung tindakan beberapa orang dipercayai peserta Konvoi BERSIH 5 yang mengedarka­n risalah berbaur hasutan di sekitar perkaranga­n pintu masuk pasar raya Giant, Kuala Selangor.

“Susulan itu, polis juga membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana mengedarka­n risalah berunsur hasutan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia