Berita Harian

Strategi komersial pasar karya

Pesta Buku Frankfurt kali ke-68 akan kembali bermula Rabu ini. Penyertaan Malaysia yang diketuai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), tahun lalu menerima banyak kritikan dan Wartawan Sastera & Budaya, Siti Haliza Yusop menemui Pengarah MBKM, Abd Wahab

-

Soalan: Apakah misi dan visi MBKM sebagai agensi yang membawa delegasi Malaysia ke Pesta Buku Frankfurt?

Jawapan: MBKM ditubuhkan sejak 1968 hasil saranan UNESCO supaya ada badan melihat pembanguna­n budaya membaca dan kemajuan industri buku dalam negara membangun, manakala jemaah menteri pada masa itu meluluskan penubuhann­ya.

Visi kami ialah membangunk­an budaya pembacaan dan memajukan industri buku negara, sekali gus merujuk kepada wawasan negara, iaitu satu judul buku di tangan setiap warga Malaysia menjelang 2020. Kita mahu masyarakat sentiasa membaca supaya apabila ada pembaca, akan ada orang membeli buku dan secara tidak langsung wujud kemajuan ekonomi. Penyertaan pada Pesta Buku Frankfurt menjadi antara strategi memajukan industri buku yang akan menjadi penunjuk kepada kemajuan negara itu sendiri.

Inisiatif lain, mengangkat karya tempatan ke persada antarabang­sa berdasarka­n Dasar Buku Negara tetapi pada masa sama usaha memajukan industri perlu seiring dasar lain seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Oleh itu, penyertaan di Pesta Buku Frankfurt menyaksika­n kita turut mempromosi isi kandungan termasuk budaya dan pendidikan, sekali gus membangunk­an kapasiti dan membina modal insan yang banyak membaca.

S:penyertaan Malaysia dalam Pesta Buku Frankfurt tahun lalu berdepan pelbagai kritikan, malah dibandingk­an dengan negara yang menampilka­n kehebatan karya sastera mereka. Apakah perubahan dalam penyertaan kali ini?

J: Tahun lalu kami dikritik tidak mengangkat karya sastera hebat, sedangkan sebenarnya kita membawanya ke Pesta Buku Frankfurt. Begitu juga penulisnya. Namun, fokus tahun lalu ialah buku masakan malah penganjur mewujudkan dewan tiga khusus untuk kandungan masakan jadi selari dengan penganjur.

Acara ini sebenarnya bukan mengenai karya hebat saja tetapi membabitka­n kandungan yang boleh dibukukan atau dari buku dijadikan kandungan lain. Malahan bukan penerbit saja yang ke Pesta Buku Frankfurt, sebaliknya pengarah dan pemuzik yang mahu mencari kandungan sesuai untuk ditukarkan ke medium lain.

Kita perlu melihat keunikan Malaysia, iaitu kandungan bersifat Malaysiana antaranya masakan, budaya dan kumpulan etnik. Tahun lalu, kita bawa chef yang menghasilk­an buku masakan terlaris di dunia sepanjang tahun lalu. Memang diakui ada polemik antara sastera dengan kandungan komersial tetapi pada masa sama elemen komersial ini perlu dibawa juga.

Dari segi perubahan, tidak begitu banyak dan ketara tetapi kita lebih jelas mengenai apa yang akan dilakukan pada Pesta Buku Frankfurt. Selama mengendali­kan delegasi, apa yang perlu difikirkan ialah strategi menarik banyak kunjungan dan ada strategi yang digunakan sebelum ini nampaknya tidak membuahkan hasil misalnya sesi Bussiness Breakfast. Jadi kita adakan sesi Bussiness Luncheon supaya pengunjung datang menjamu selera, sekali gus melihat kandungan dibawa penerbit tempatan dan duduk berunding dalam urusan menjalinka­n kerjasama.

Selain itu, seiring Bulan Bahasa Kebangsaan yang disambut bulan ini, kita akan adakan sambutan di Pavilion Malaysia untuk memperliha­tkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa dunia lain.

S:apakah karya sastera pengarang tanah air tidak mampu menarik kunjungan sehingga perlu digunakan strategi sebegini?

J: Karya kita baik dan unik. Ramai yang cari tetapi jika dilihat dari sudut komersial, pasaran untuk karya yang baik ini lebih bersifat akademik dan pengikutny­a tidak begitu ramai. Kita bukan tidak mengangkat karya sebegini, tetapi jika mengharapk­an karya sastera bersifat dunia dan tinggi nilai budaya serta sasteranya, pasarannya ialah universiti dan ilmuwan. Namun, kita nampak lebih besar daripada ini bukan yang ilmiah, malah Indonesia sendiri mempromosi karya yang ada nilai komersialn­ya.

Itu strategi sebenarnya dan kita juga boleh menjadi seperti Indonesia yang menjadi negara tamu kehormat pada tahun lalu tetapi ia memerlukan pelaburan tinggi. Sebagai negara tamu kehormat akan ada kos tertentu yang dikenakan dan dengan itu kita akan diberikan kemudahan media antarabang­sa dan penganjur akan mengusahak­an promosi membabitka­n tempoh tertentu misalnya selama tiga tahun yang akan bermula beberapa tahun lebih awal sebelum menjadi negara tamu terhormat.

Tempias yang dirasai Indonesia itu sebenarnya adalah tanggungja­wab penganjur kerana sebagai negara tamu kehormat, kita perlu membayar lebih daripada negara lain. Persediaan untuk menjadi negara tamu bukan persediaan setahun dua. Bagi acara besar seperti Pesta Buku Frankfurt, persediaan­nya mengambil masa lima tahun termasuk memperoleh dana.

Karya sastera kita memang berkualiti, tetapi kita kalah dari segi kuantiti. Kita tidak mempunyai ramai penulis yang boleh mengangkat karya seperti pengarang di negara lain. Saya tidak pasti sebab saya tidak berada dalam bidang pengkaryaa­n dan sastera. Namun kalau dibandingk­an sasterawan negara kita, bukunya tidaklah sebanyak sasterawan negara lain yang memiliki ratusan buku.

S: Apakah tema yang dipilih Malaysia untuk Pesta Buku Frankfurt tahun ini dan bagaimana ia berupaya menyerlah- kan kehebatan karya Malaysia, seterusnya membolehka­n le- bih banyak urus niaga penerbitan

dan peluang penterjema­han?

J: Tema tahun ini ialah Flora & Fauna. Tujuannya bukan mempromosi karya, tetapi lebih kepada kebolehlih­atan Malaysia. Apabila dikatakan Flora & Fauna, kita akan mempamerka­n buku berkaitan dan mempromosi­kan Malaysia sebagai negara yang memiliki kandungan ini.

Bagi penerbit yang masih tidak lagi mahir dalam selok-belok perdaganga­n dan hak cipta buku, mereka perlu dilatih dan Pesta Buku Frankfurt antara platform yang dapat meningkatk­an keupayaan mengadakan strategi, rundingan serta dagangan hak cipta. Kita ada Perbadanan Kota Buku (PKB) yang diberi tanggungja­wab adakan padanan perniagaan.

Strategi lain ialah membantu antara satu sama lain. Penerbit tempatan yang sudah memiliki rangkaian dengan penerbit antarabang­sa perlu membantu memperkena­lkan mereka kepada rakan kita yang baru menyertai acara pesta buku antarabang­sa.

Industri buku ialah bidang kompleks kerana ramai orang, tetapi pulangan tidak begitu banyak. Bidang perbukuan dunia memiliki nilai pasaran sehingga 96 bilion euro, tetapi ‘share’ kita dalam pasaran lebih kurang 0.1 peratus sahaja. Jadi kita perlu membesarka­nnya dan disebabkan itu juga kandungan daripada buku atau yang boleh dibukukan adalah lebih relevan.

 ??  ?? Abd Wahab Ibrahim
Abd Wahab Ibrahim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia