Berita Harian

Terengganu beri Irfan kuasa penuh

- Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Bekas jurulatih pasukan FELDA United, Irfan Bakti Abu Salim akan diberi tanggungja­wab memilih pengurusan dan pemain Terengganu musim depan.

Walaupun kedudukan Terengganu untuk meneruskan saingan dalam Liga Super musim depan akan ditentukan pada perlawanan akhir Sabtu ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan melakukan rombakan keseluruha­n pengurusan.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Ahmad Razif Abd Rahman berkata, perbincang­an akhir antara Irfan dan pengurusan persatuan akan dilakukan secepat mungkin dan kontrak antara kedua pihak akan ditandatan­gani.

“Kita serahkan sepenuhnya tanggungja­wab membentuk pasukan, memilih barisan pemain termasuk pemain import dan pengurusan termasuk penolong jurulatih kepada Irfan.

“Hasil beberapa siri perbincang­an diadakan antara Pengerusi Jawatankua­sa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat, Irfan bersetuju dan tandatanga­n kontrak akan dilakukan segera iaitu selepas kontraknya bersama FELDA tamat akhir bulan ini,” katanya ketika ditemui selepas menyaksika­n perlawanan separuh akhir kedua antara T-team dan Selangor di pekarangan Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, di sini, malam kelmarin.

Puas hati aksi T-team

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata, kontrak Irfan perlu didahuluka­n bagi memudahkan dia memilih pemain untuk menyarung jersi skuad penyu musim depan.

“Rombakan secara keseluruha­n pasukan bola sepak utama negeri perlu dilakukan bagi memastikan kegemilang­an skuad penyu bersaing musim depan,” katanya.

Mengenai pasukan T-team yang gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri memutuskan bahawa pengurusan termasuk ketua jurulatih dan semua pemain dikekalkan.

“Walaupun T-team gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas ditewaskan Selangor 3-0 dengan agregat 3-1, saya berpuas hati dengan aksi dipamerkan dan tiada sebarang perubahan dan rombakan ke atas pasukan itu dilakukan.

“Dengan keputusan itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri, Datuk Mohamad Kamil Othman dan ketua jurulatih, Rahmad Darmawan kekal menerajui pasukan Tteam musim depan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia