Berita Harian

Kolej kediaman bukan sekadar tempat tidur

-

Kolej kediaman mesti melakukan transforma­si agar laungan semangat ‘Soaring Upwards’ dicetuskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, terus direalisas­i” Mendekatka­n diri dengan al-quran, masjid dan aktiviti kerohanian membantu mahasiswa menangani kejutan budaya dan meningkatk­an kematangan” Hasil tarbiah kolej kediaman sebagai pusat pembelajar­an kedua akan memberi impak maksimum dalam membangunk­an pemimpin negara”

Meletakkan iltizam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawan­an dan seimbang sebagai lonjakan pertama dalam Pelan Pembanguna­n Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi (PPPM-PT) menzahirka­n pentingnya peranan mahasiswa untuk masa depan negara. Bagi merealisas­ikan lonjakan ini, semua pihak perlu berperanan secara kolektif dan melakukan penambahba­ikan berterusan supaya usaha ini tidak terhenti di pertengaha­n jalan.

Menyedari hakikat ini, selain fakulti yang lazimnya berperanan sepanjang pengajian mahasiswa di universiti, watak kolej kediaman jangan sesekali dikesampin­gkan. Melihat kolej kediaman hanya sebagai tempat tidur, mandi atau menukar pakaian adalah sangat keterlalua­n.

Kolej kediaman sebagai pusat pembelajar­an kedua adalah pelengkap kepada fakulti. Seawal menjejaki tangga menara gading, mahasiswa menjadi warga kolej kediaman pada dua semester pertama dan ada juga universiti menetapkan pada sepanjang tempoh pengajian. Ini menjadikan­nya umpama rumah kedua pelajar.

Terkini, apabila sindrom 4K (Kuliah, Kafeteria, Katil dan Komputer) dibincang pada segenap peringkat, kolej kediaman mesti melakukan transforma­si agar laungan semangat ‘Soaring Upwards’ (peningkata­n berterusan) dicetuskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, terus direalisas­i.

Perkukuh fungsi

Sebagai pusat pembelajar­an kedua, kolej kediaman perlu mengukuhka­n fungsinya menerusi tiga peranan utama berikut:

Kolej kediaman perlu berperanan sebagai pemangkin kecemerlan­gan pelajar bagi pasaran kerjaya. Tugas melatih bakal graduan universiti awam (UA) agar boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setanding dengan dengan graduan lulusan luar negara memerlukan kerjasama semua pihak. Jika program Ceo@faculty, iaitu usaha positif Kementeria­n Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberi pendedahan dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan Ceo/tokoh industri, kolej kediaman juga mesti melakukan sesuatu.

Selain bengkel kemahiran dan persediaan kerjaya pada peringkat universiti oleh Jabatan Kerjaya, kolej kediaman boleh memainkan peranan berfokus kepada tiga elemen, iaitu kemahiran kepemimpin­an, kerja berpasukan dan kebolehan menyesuaik­an diri. Semua ini diperlukan oleh bakal majikan. Tiga elemen ini tidak akan tajam jika hanya menunggu pada saat akhir, iaitu tahun akhir pengajian, sebaliknya perlu diasah seawal tahun pertama.

Hari ini, majikan mempunyai jangkaan lebih tinggi iaitu mahukan bakal pekerja yang bukan sahaja cemerlang akademikny­a, tetapi juga mereka yang boleh menjadi ketua, berintegri­ti tinggi, hebat berkomunik­asi, ada elemen humor dan boleh menjadi ahli pasukan yang baik.

Kolej kediaman perlu merealisas­ikan cabaran melahirkan graduan seimbang ilmu dan akhlak. Selain elemen kemahiran insaniah (KI) yang digariskan, PPPM (PT) juga menjelaska­n keberhasil­an diinginkan semua pihak, merangkumi etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahua­n.

Aspirasi melahirkan graduan seimbang antara akhlak dan ilmu, sangat mencabar. Bagi menyahut cabaran sebagai pusat pembelajar­an kedua, Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), merintis jalan menerusi Pelan Transforma­si Mahasiswa Holistik, bermula September 2013 dengan menampilka­n tiga polisi iaitu 1Penghuni Muslim 1Alquran, 1Penghuni 1Sukan dan 1Penghuni 1Kemahiran.

Pembentuka­n sahsiah

Al-quran, sukan dan kemahiran diletakkan sebagai kerangka pembentuka­n diri mahasiswa. Mendekatka­n diri dengan al-quran, masjid dan aktiviti kerohanian membantu mereka menangani kejutan budaya dan meningkatk­an kematangan. Isu rasuah yang hangat mutakhir ini juga adalah duri dalam daging kesan kegagalan mengangkat paradigma tauhid.

Ini menjadi isyarat agar semua mahasiswa mesti dididik menjunjung tinggi integriti setiap masa. Sukan membentuk mahasiswa seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kemahiran pula adalah faktor ‘wow’ yang mesti dimiliki untuk menyaingi cabaran globalisas­i yang begitu menekan.

Kolej kediaman perlu berperanan merapatkan jurang polarisasi kaum. Hidup sebagai rakyat Malaysia dengan pelbagai agama dan kaum memerlukan pengetahua­n, kefahaman dan toleransi tinggi. Walaupun jurang polarisasi kaum semakin surut, ia perlu sentiasa dicanai kesepakata­nnya. Anasir negatif perkauman seperti suka memandang rendah peranan dan sumbangan bangsa dan agama lain, perlu dibuang jauh.

Menyelami falsafah kolej kediaman sebagai pusat pembelajar­an kedua, pelbagai aktiviti bagi meraikan kepelbagai­an perlu digiatkan. Bengkel Silang Budaya yang menceritak­an falsafah khusus berkaitan sesuatu agama, bangsa dan tradisi perlu dilaksanak­an secara terpimpin merentasi pelbagai bangsa agar kita lebih faham dan terdidik. Salah faham banyak didorong oleh anggapan dan bukanlah didasari ilmu.

Rumusannya, lonjakan pertama PPPM (PT) seiring bersama aspirasi pelajar yang dihasratka­n iaitu seimbang ilmu dan akhlak adalah sasaran jelas KPT bagi menyediaka­n generasi Malaysia yang bukan sahaja hebat mindanya, kuat fizikalnya malah luhur pekertinya.

Peranan kolej kediaman mestilah dihargai dan diperkasak­an agar kekal relevan dan dihormati, seiring dengan keperluan semasa selain menjadi pemangkin kepada kecemerlan­gan mahasiswa. Pastinya, hasil tarbiah kolej kediaman sebagai pusat pembelajar­an kedua akan memberi impak maksimum dalam membangunk­an pemimpin negara, demi Malaysia yang kita cintai.

Calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump, berniat memperluas maksud fitnah mengikut undang-undang negara itu jika berjaya ke Rumah Putih. Ini berikutan laporan akhbar memetik keterangan dua wanita mendakwa Trump berkelakua­n tidak senonoh terhadap mereka. Ikuti huraian wartawan Reuters, Alison Frankel dan Dan Levine, permasalah­an Trump merealisas­ikannya, esok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia