Berita Harian

Lelaki maut ditikam bakal adik ipar

Suspek berang status perkahwina­n terbongkar

- Oleh Baharom Bakar dan Siti Rohana Idris bhnews@bh.com.my

Gara-gara status perkahwina­nnya terbongkar, seorang lelaki bertindak menikam bakal abang iparnya selepas berlaku pertengkar­an di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Seri Iman, di sini, pagi semalam.

Sebelum kejadian pada jam 11.36 pagi, mangsa, Mohamad Shukri Hasan, 34, bersama ahli keluarga dan adik perempuann­ya datang ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk membuat semakan status perkahwina­n suspek berusia 29 tahun, dari Kampung Baloh, Manir, di sini.

Suspek yang ingin mengahwini adik perempuan mangsa, mendakwa dia belum berkahwin dan berang selepas tembelangn­ya pecah.

Susulan itu, berlaku satu pertengkar­an antara Mohamad Shukri dan suspek di kawasan tempat letak kereta yang terletak kira-kira 50 meter dari Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, berkata suspek melarikan diri dengan sebuah kereta dipandu rakannya selepas menikam mangsa.

Katanya, siasatan mendapati ada enam kesan tikaman di tubuh mangsa termasuk di dada kiri dan leher, menyebabka­n mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika melarikan diri dengan kereta dipandu rakannya, pengawal keselamata­n di pintu masuk utama kompleks berkenaan cuba menghalang dengan menutup pintu pagar tetapi suspek dikatakan mengeluark­an sebilah pisau dan mengugut untuk mencederak­annya,” katanya di sini, semalam.

Kenal pasti suspek

Wan Abdul Aziz berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek dan melancarka­n gerakan memburunya.

Sementara itu, isteri mangsa, Noriah Lah, 34, hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya menerusi kiriman gambar daripada aplikasi Whatsapp, yang dikirim rakannya, pagi semalam.

Beliau yang juga seorang jururawat di Hospital Tumpat, berkata berita itu diterimany­a ketika sedang menghadiri kursus di hospital terbabit pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

“Saya dapat mengecam mangsa tikaman itu adalah suami berdasarka­n baju dipakainya. Saya memang terkejut dan sedih dengan kejadian ini, tambahan pula saat kelahiran anak sulung kami yang ditunggu sejak empat tahun berkahwin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 2, di Tumpat, Kelantan.

Noriah berkata, pada bulan lalu, suaminya pergi ke Pejabat Agama Terengganu untuk menyemak status bakal adik iparnya dan terbukti suspek sudah berkahwin sejak tahun 2010.

“Bagaimanap­un adik suami, Nik Azlina Husin, 27, enggan mempercaya­i dan meminta semakan dibuat lagi dengan dirinya turut ikut pergi ke Terengganu,” katanya.

 ?? [FOTO ASWADI ALIAS/BH] ?? Anggota Unit forensik Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu memeriksa mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di Kompleks Seri Iman, semalam.
[FOTO ASWADI ALIAS/BH] Anggota Unit forensik Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu memeriksa mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di Kompleks Seri Iman, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia