Berita Harian

Malaysia tidak kompromi soal kedaulatan wilayah

PM nafi negara terhutang budi dengan China hingga sanggup gadai negara

-

Laporan Mohd Anwar Patho Rohman, Rohaniza Idris dan Ahmad Suhael Adnan

Datuk Seri Najib Razak menafikan Malaysia terhutang budi dengan China sehingga sanggup menggadaik­an kedaulatan negara.

Perdana Menteri berkata, walaupun mempunyai hubungan ekonomi kukuh dengan China yang juga rakan dagang terbesar Malaysia, kerajaan tidak akan berkomprom­i dalam soal kedaulatan wilayahnya termasuk jika berlaku penceroboh­an di kawasan perairan negara di Laut China Selatan.

“Kita berpegang teguh pada prinsip mempertaha­nkan kedaulatan Malaysia walaupun pendekatan kita tidak menimbulka­n kontrovers­i. Prinsip kita amat tegas dan dalam soal kedaulatan negara, kita tidak akan berkomprom­i,” katanya menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (Pkr-lembah Pantai), semalam.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Hasan Arifin (Bn-rompin) mengenai tindakan Malaysia terhadap kependuduk­an China di Kepulauan Spratly, Najib berkata, Malaysia berpendiri­an menangani isu berkenaan menerusi dialog atau rundingan.

Katanya, isu itu membabitka­n dua aspek utama, merangkumi keperluan memastikan keamanan, keselamata­n dan kestabilan serta kebebasan pelayaran atau penerbanga­n, selain tuntutan bertindih oleh beberapa negara, iaitu Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam dan China.

Pendirian Malaysia jelas

“Pendirian Malaysia berhubung Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten, semua negara mesti memastikan keamanan dan kestabilan. Sebarang tindakan yang boleh gugat keamanan dan kestabilan, menimbulka­n kebimbanga­n dan kecurigaan serta bersifat provokatif hendaklah dielakkan,” katanya.

Bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelak ketegangan di Laut China Selatan, katanya, negara rantau ASEAN dan China menandatan­gani Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak di Laut China Selatan (DOC) dan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC).

“DOC dan COC yang sedang diusahakan ASEAN dan China bukan instrumen untuk menyelesai­kan tuntutan bertindih di Laut China Selatan, tetapi mekanisme mengelak ketegangan antara pihak bertelingk­ah,” katanya.

 ?? [FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH] ?? Najib menjawab soalan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat , semalam.
[FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA/BH] Najib menjawab soalan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat , semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia