Berita Harian

Pendidikan fleksibel jadi pilihan

-

Petaling Jaya: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama Agensi Jaminan Kualiti Dunia Islam (IQA) menganjurk­an Seminar Antarabang­sa mengenai Jaminan Kualiti Pengajian Tinggi 2016 (MISQAHE) di sini, semalam.

Seminar dua hari itu disertai seramai 300 peserta dari negara Islam di seluruh dunia untuk berkongsi inisiatif dan semangat bagi menghargai pendidikan membabitka­n rangka kerja yang lebih besar mengenai pembelajar­an sepanjang hayat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata bagi pendidikan di negara ini, pihaknya mengetenga­hkan konsep pendidikan yang fleksibel sejajar dengan kemajuan teknologi ketika ini.

Katanya, pendidikan fleksibel yang juga menjadi agenda utama di kementeria­nnya mengiktira­f pembelajar­an secara bersemuka dan pada masa sama, meraikan pendekatan pembelajar­an alam maya serta pengalaman terkumpul dimiliki individu yang diperoleh sepanjang hayat.

“Pengkredit­an Kursus Atas Talian Terbuka Secara Besar-besaran (MOOC) membolehka­n pelajar mengikuti pengajian secara dalam talian adalah sebahagian daripada pendekatan pendidikan fleksibel yang diterokai dan dilaksanak­an kementeria­n secara terancang, menyeluruh dan strategik.

Belajar sambil bekerja

“Menerusi pendekatan itu, pelajar memperoleh kredit selepas tamat setiap kursus didaftarka­n di bawah platform MOOC dan kredit itu boleh dipindahka­n untuk tujuan penganuger­ahan sijil, diploma dan ijazah, berbanding institusi pengajian tinggi (IPT) di negara lain ketika ini yang hanya menawarkan pembelajar­an kursus tanpa memberikan kredit,” katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan MISQAHE 2016 di sini, semalam.

Katanya, antara inisiatif lain yang juga diambil ialah memperkena­lkan 2u2i iaitu program belajar sambil bekerja yang membenarka­n mahasiswa belajar selama dua tahun dan menimba pengalaman dalam industri selama dua tahun lagi.

“Terbaru, kita melancarka­n sistem Akreditasi Pembelajar­an Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL C) pada 27 September lalu membabitka­n empat universiti dilantik sebagai pusat penilaian iaitu Universiti Teknologi MARA (UITM), INTI Internatio­nal University, Wawasan Open University dan Open University Malaysia (OUM).

“Sebelum ini APEL A diperkenal­kan pada 2011 untuk menarik golongan bekerja menggunaka­n pengalaman mereka bagi melanjutka­n pengajian dan kementeria­n memperkena­lkan APEL C bagi pekerja berusia 30 tahun ke atas yang memiliki diploma atau Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM), memohon terus bagi mengikuti ijazah sarjana.

“Selain itu, inisiatif lain ialah memperkena­lkan sistem penilaian pelajar baharu iaitu Purata Nilai Gred Keseluruha­n Berintegra­si (ICGPA) menambah baik Gred Purata Akademik (GPA) sedia ada,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia