Berita Harian

Pengarah, timbalan digantung tugas

Notis penggantun­gan suspek dikeluarka­n SPAN berkuat kuasa pada 4 Oktober lalu

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

Pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah yang dibebaskan dengan jaminan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes salah guna kuasa agihan projek bernilai RM3.3 bilion digantung tugas sejak ditahan agensi itu awal bulan ini.

Penggantun­gan kedua-dua pegawai terbabit diumumkan Setiausaha Kerajaan Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dalam kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, notis penggantun­gan kedua-dua suspek itu dikeluarka­n Suruhanjay­a Perkhidmat­an Awam Negeri Sabah (SPAN) berkuat kuasa pada tarikh mereka ditahan iaitu pada 4 Oktober lalu.

Katanya, menerusi tindakan itu, kedua-dua suspek dilarang memasuki pejabat tempat mereka bertugas sebelum ini atau mana-mana pejabat di jabatan sama di seluruh negeri.

Dihalang keluar

“Suspek juga dihalang keluar dari Sabah sepanjang tempoh siasatan,” katanya.

Pengarah terbabit dibebaskan dengan jaminan RM500,000 tanpa deposit dan dua penjamin tempatan selepas tempoh remannya berakhir kelmarin, manakala timbalan pengarah itu pula dibebaskan semalam dengan jaminan sama.

Dua lagi suspek iaitu ahli perniagaan bergelar Datuk yang juga abang timbalan pengarah dan suspek keempat iaitu akauntan masing-masing turut dibebaskan semalam dengan jaminan RM500,000 tanpa deposit serta dua penjamin.

Semalam, tiga suspek terbabit dibebaskan pada jam 10 pagi di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, manakala suspek pertama iaitu pengarah dibebaskan di hadapan majistret sama di lokap berpusat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada jam 1 tengah hari, kelmarin.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi semalam mengesahka­n pembebasan semua suspek terbabit.

Katanya, semua suspek perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan.

“Mereka akan dipanggil semula untuk membantu siasatan jika perlu pada bila-bila masa.

“Siasatan masih dijalankan dan akan dilengkapk­an secepat mungkin sebelum kertas siasatan dikemukaka­n kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutny­a,” katanya.

Pengarah bersama timbalan pengarah sebuah jabatan berkaitan utiliti itu dan dua lagi suspek ditahan pada 4 Oktober lalu selepas disyaki terbabit dalam penyelewen­gan agihan projek bernilai RM3.3 bilion sejak tahun 2010.

Setakat ini, hanya suspek kelima, iaitu bekas timbalan pengarah di jabatan terbabit masih ditahan reman sejak Jumaat lalu.

Berikutan penahanan semua suspek sebelum ini, SPRM merampas wang tunai, kenderaan mewah, geran tanah, barang kemas dan beg serta jam tangan mewah bernilai lebih RM180 juta.

 ??  ?? Tiga suspek kes salah guna kuasa RM3.3 bilion selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, semalam.
Tiga suspek kes salah guna kuasa RM3.3 bilion selepas dibebaskan dengan jaminan SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia