Berita Harian

Suspek kes bunuh dipercayai masih di Kuala Terengganu

Operasi kesan lelaki dilancar, sekatan jalan di seluruh negeri

- Oleh Baharom Bakar

Lelaki yang menikam bakal abang iparnya sehingga mati di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Seri Iman, di sini, kelmarin, dipercayai masih berada di sekitar daerah Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Assisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, berkata operasi mengesan lelaki dikenali sebagai Mohd Hafiz Mohamad, 29, dari Kampung Baloh, Manir, bagi membantu siasatan masih diteruskan dengan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negeri, mulai kelmarin.

Katanya, polis tidak menolak kemungkina­n Mohd Hafiz melarikan diri dengan sebuah motosikal selepas kereta Honda Civic digunakan dalam kejadian itu, diserahkan bapa saudara rakannya.

“Polis menemui kereta berkenaan disembunyi­kan di tepi padang berhampira­n kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, di sini, pada kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Kereta ditemui

“Rakan suspek yang memandu kereta itu dan bapa saudaranya yang juga pemilik kenderaan berkenaan berusia 55 tahun turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Tanjung Bunut, Kampung Buluh Gading, petang kelmarin,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Muhamad Shukri Husin, 34, kakitangan Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) di Pengkalan Kubor, Kelantan, terbunuh, dipercayai ditikam suspek dalam kejadian pada kira-kira jam 11.35 pagi.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkar­an antara mangsa dan suspek di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati apabila status perkahwina­nnya terbongkar selepas semakan dilakukan di Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.

Wan Abdul Aziz berkata, orang ramai, terutama ahli keluarga Mohd Hafiz yang mempunyai maklumat mengenainy­a diminta memberi kerjasama, termasuk menghubung­i polis.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia