Berita Harian

Dortmund tekad curi satu slot

-

Berlin: Penjaga gol Borussia Dortmund, Roman Burki percaya pertembung­an Liga Juara-juara dengan Sporting Lisbon, awal pagi esok adalah penting bagi menentukan mereka mampu meneruskan perjalanan lebih jauh.

Dortmund kini terikat empat mata bersama Real Madrid di persada Kumpulan F, tetapi tiba ke Portugal tanpa kemenangan dalam tiga aksi terakhir susulan keputusan seri 1-1 dengan Hertha Berlin di laman sendiri, Jumaat lalu.

Aksi penting

Dengan Sporting hanya kekurangan satu mata di belakang Dortmund dan Real, Burki merasakan skuadnya perlu segera mengatasi masalah kejatuhan prestasi itu jika berniat melangkah ke pusingan seterusnya.

“Jelas sekali perlawanan ini sangat penting daripada segi bagaimana kami menamatkan kedudukan kumpulan,” katanya. “Kami mahu memulihkan keyakinan, kembali menang dan bersedia melakukan apa saja untuk itu.”

Pengurus besar Dortmund, Michael Zorc bersetuju dengan kenyataan Burki bahawa perlawanan di Estadio Jose Alvalade itu amat penting.

Kerja keras

“Anda tidak perlu menjadi seorang lelaki yang bijak untuk mengatakan bahawa pertemuan menentang Sporting akan memberi kesan kepada keputusan akhir kumpulan ini,” katanya.

“Sudah pasti Real Madrid akan berusaha keras mara daripada kumpulan ini dan anda tidak perlu menjadi nujum untuk meramalkan­nya.

“Dalam hal ini... anda perlu membuktika­n pasukan mana yang lebih kuat dalam pertembung­an menentang Sporting untuk menyambar satu lagi slot ke pusingan seterusnya.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia