Berita Harian

Ketiadaan wakil MHC jadi tanda tanya

- Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor yang masuk edisi keenam sememangny­a bertaraf antarabang­sa, namun persoalan timbul selepas tiada wakil dari Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC) yang hadir pada majlis pelancaran kejohanan itu, semalam.

Ketiadaan wakil MHC seolah-olah mereka tidak mengambil berat kejohanan bawah 21 tahun itu yang dianjurkan oleh Persatuan Hoki Johor (JHA) yang bekerja keras bagi mendapat tajaan sejumlah RM1.45 juta untuk menganjurk­an kejohanan berkenaan.

Kejohanan yang akan disingkap tirainya di Stadium Hoki Taman Daya 31 Oktober ini akan turut disertai England, New Zealand, Australia, India, Jepun, Pakistan dan skuad remaja negara.

Bagaimanap­un, Presiden JHA, Md Jais Sarday bingkas menolak tanggapan itu, sebaliknya berpendapa­t jadual padat mungkin menyebabka­n tiada wakil MHC hadir pada majlis pelancaran yang disempurna­kan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Tetap bayar RM21,000

“Mungkin jadual pegawai MHC padat dan sebab itu mereka tidak dapat hadir. Saya anggap ia perkara biasa dan mungkin mereka akan hadir pada hari kejohanan.

“Mengenai yuran penganjura­n yang dikenakan MHC terhadap JHA, kami akan tetap bayar RM21,000 seperti yang ditetapkan oleh badan induk itu memandangk­an kami di bawah gabungan mereka dan ia pertama kali kami perlu buat bayaran,” katanya.

Md Jais menegaskan walaupun skuad hoki remaja negara tidak beraksi pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia berbanding England, Pakistan, Jepun dan New Zealand di Uttar Pradesh, India, Disember ini, namun Piala Sultan Johor adalah landasan terbaik untuk skuad kendalian Wallace Tan membuat persiapan lebih rapi menghadapi kejohanan bertaraf antarabang­sa yang akan datang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia