Berita Harian

Akhiri dengan bergaya: Idris

- Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden Melaka United Soccer Associatio­n (MUSA), Datuk Seri Idris Haron menuntut pasukan berkenaan melakar kemenangan bergaya pada saingan terakhir Liga Perdana menentang Sime Darby di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Menurutnya, walaupun tewas atau seri tidak mengubah kedudukan pasukan yang sudah sah menjuarai Liga Perdana, namun beliau tidak mahu kejayaan menjulang trofi Liga Perdana dicacatkan dengan kekalahan pada aksi berkenaan.

Perancanga­n rapi

“Saya tidak mahu pemain beraksi sambil lewa, sebaliknya beraksi penuh semangat memburu kemenangan. Saya mahu pemain menghadiah­kan kegembiraa­n berganda kepada 30,000 penyokong setia dengan memenangi perlawanan terakhir itu,” katanya.

Idris berkata, keputusan MUSA memberi tiket percuma pada aksi terakhir itu juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang tidak berbelah bahagi memberi sokongan kepada pasukan sehingga mampu menjuarai saingan dan kembali beraksi dalam Liga Super musim depan.

“Kejayaan itu seharusnya menjadi lonjakan motivasi kepada pemain dan kita juga akan membuat perancanga­n rapi bagi memastikan kita mampu bersaing dalam Liga Super,” katanya.

Apa yang pasti, Stadium Hang Jebat bakal meriah dengan sambutan kejuaraan berkenaan selepas 33 tahun.

Pada 1983 Melaka muncul juara Liga Malaysia di bawah bimbingan jurulatih Halim Darimi dengan barisan pemain dibarisi legenda, Datuk Soh Chin Aun, Ramli Junit, Rahim Abdullah, G Torairaju dan Akop Itam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia