Berita Harian

FELDA United pilih bekas jurulatih JDT II ganti Irfan

- Oleh Syed Riduan Ahmad

Kuala Lumpur: Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Azmi Mohamed dilantik sebagai pengendali FELDA United bagi menggantik­an Irfan Bakti Abu Salim yang meletakkan jawatan awal bulan ini.

Perkara itu disahkan Presiden FELDA United, Datuk Hanapi Suhada dengan berkata Azmi yang juga bekas pemain negara era 90an dan jurulatih pasukan Young Fighters FC dipilih sebulat suara dalam mesyuarat petang semalam.

“Pada musim 2016, Azmi yang juga anak peneroka dari Rancangan Felda Bukit Wa Ha, Kota Tinggi, Johor, dilantik memegang jawatan pegawai teknikal bagi memantau pergerakan pasukan di bawah naungan FELDA United.

“Keputusan jurulatih The Fighters baharu itu diambil selepas mengambil kira pengalaman beliau dalam arena bola sepak negara dan juga pernah membimbing pasukan JDT II,” katanya.

Sementara itu, Hanapi juga mengucapka­n terima kasih kepada Irfan sehingga berjaya membawa The Fighters mencapai kejayaan.

Tolak tawaran

Irfan mula menyertai skuad FELDA United pada musim 2013 bagi menggantik­an K Devan dan membantu kelab muncul naib juara Liga Super musim ini selain layak ke saingan Piala Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.

Pengendali 65 tahun dari Perak itu mengakui punca peletakan jawatannya adalah di atas kegagalan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menyebabka­n dia tekad untuk mengundur diri.

Di awal musim, pihak pengurusan FELDA United meletakkan KPI ke atas Irfan untuk membimbing The Fighters menjulang sekurang-kurangnya satu trofi tahun ini.

“Kita meletakkan KPI kepada beliau pada awal musim iaitu minimum adalah memperoleh satu piala, jadi mungkin disebabkan kegagalan itu beliau sendiri berasa bertanggun­gjawab di atas kegagalan itu untuk melepaskan jawatannya.

“Namun begitu, kami menawarkan jawatan sebagai jurulatih teknikal tetapi beliau menolak tawaran berkenaan. Pastinya kami berasa berat untuk melepaskan Irfan kerana beliau sudah membawa banyak peningkata­n besar buat pasukan walaupun gagal mencapai KPI,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia