Berita Harian

Usah bincang isu remeh: FMLLP

-

Shah Alam: Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam mahu peminat bola sepak tempatan mengetepik­an isu-isu kecil penganjura­n sesebuah kejohanan sebaliknya memberi tumpuan kepada prestij sesebuah kejohanan atau perlawanan.

“Kita cenderung untuk bercakap soal mengapa perlawanan ini dibuat pada hari Ahad, tidak hari Jumaat, atau mengapa tiket kanakkanak kembali dijual dan sebagainya,” kata Kevin dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankua­sa pengelola final Piala Malaysia antara Kedah dan Selangor semalam.

“Sedangkan perlawanan final antara Kedah dan Selangor kali ini cukup menarik untuk dibincangk­an. Ini adalah edisi ke-90 Piala Malaysia dan Selangor turun sebagai juara bertahan serta juara 33 kali.

“Kedah dan Selangor juga sudah bertembung dua kali dalam kancah final kejohanan tertua negara ini dengan rekod kalah sekali dan menang sekali. Jadi pertemuan kali ini bakal menentukan pasukan mana lebih unggul.

Perubahan tarikh

“Sebenarnya banyak lagi statistik serta fakta yang boleh dibincangk­an, tetapi masih ramai yang mahu membincang soal remeh seperti perubahan tarikh dan sebagainya.”

Kevin berkata demikian ketika diminta menerangka­n berkenaan perubahan tarikh final yang terpaksa dianjakkan dari 29 Oktober kepada 30 Oktober, memandangk­an tarikh awal jatuh pada hari Deepavali.

“Sebenarnya kita sudah merancang jadual perlawanan Liga Malaysia tahun ini termasuk Piala Malaysia sejak November tahun lalu,” kata Kevin. “Bagaimanap­un berlaku perubahan kepada tarikh perayaan Deepavali selepas jadual perlawanan ditetapkan.”

Kevin berkata, pihaknya sedia memperbaik­i kelemahan penganjura­n Liga Malaysia dari semasa ke semasa dan FMLLP memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk pasukan, penyokong dan media untuk membawa Liga Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia